Monday, August 30, 2010

Tengku Muhammad Ismail DiMasyhur Pemangku Raja

Yang di-Pertuan Agong merangkap Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin (kanan) berkenan menerima mengadap dan menjunjung duli dari anakandanya Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail sewaktu istiadat pemasyhuran Pemangku Raja dan Perlantikan Majlis Perwakilan Pemangku Raja di Istana Maziah, Kuala Terengganu, hari ini (30 Ogos 2010) - Foto Bernama

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan memasyhurkan anakanda baginda Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan sebagai pemangku Raja Terengganu berkuatkuasa, Khamis lepas.

Pada istiadat di Istana Maziah di Kuala Terengganu, hari ini, watikah pemasyhuran itu telah dibacakan oleh Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud yang disaksikan oleh Sultan Mizan dan Sultanah Nur Zahirah.

Menurut laporan Bernama, Pemasyhuran Tengku Muhammad Ismail, 13, setelah baginda mukallaf iaitu boleh menjalankan tanggungjawabnya sendiri sepanjang Sultan Mizan Zainal Abidin menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum ini Tengku Muhammad Ismail merupakan Pemangku Raja Terengganu dengan pemerintahan kerajaan negeri adalah di bawah Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Setelah pemasyhuran Tengku Muhammad Ismail hari ini, secara tidak langsung, Majlis Penasihat Pemangku Raja dibubarkan.

Memandangkan Pemangku Raja Terengganu akan berangkat ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran mulai esok, maka Sultan Terengganu berkenan melantik Majlis Perwakilan Pemangku Raja bagi menjalankan kewajipan seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang kerajaan negeri Terengganu.

Tiga orang yang dilantik sebagai Majlis Perwakilan Pemangku Raja itu ialah Tengku Sri Bendahara Raja Tengku Mustafa Kamel Sultan Mahmud, Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Sultan Ismail dan Datuk Abdul Kadir Sulaiman.

1 comment: