Saturday, August 7, 2010

Zakat Hari Raya Diagih Ikut DUN - Kuala Terengganu Paling Ramai

Seramai 30,846 penerima layak menerima bantuan zakat hari raya yang diagih Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) bermula 2 hingga 10 Ogos ini mengikut lokasi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dalam pengagihan ini, daerah Kuala Terengganu mencatatkan bilangan penerima tertinggi iaitu seramai 9,369 diikuti Besut 5,400 orang, Marang (5,256), Kemaman (3,661), Dungun (3,435), Hulu Terengganu (2,735) dan Setiu 990 orang.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman berkata, mulai tahun ini juga kadar bayaran bagi setiap penerima dinaikkan dari RM250 pada tahun lalu kepada RM300 melibatkan peruntukan sebanyak RM 10.5 juta.

“Pengagihan ini akan dibuat secara telus bagi mengelakkan orang yang tidak sepatutnya dapat, turut disenaraikan,” katanya.

Menurutnya, pemilihan penerima tahun ini juga sepatutnya lebih kemas dan tepat disebabkan pemilihan mereka diputuskan bersama oleh mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), jawatankuasa masjid dan amil di kawasan berkenaan.

Wan Harujan berkata, berpandukan kepada senarai yang dikeluarkan jawatankuasa khas Maidam, terdapat kekurangan pengagihan kepada penerima yang layak tahun ini.

“Pengurangan ini adalah seramai 9,272 orang kerana angka keseluruhan penerima 2009 adalah seramai 39,118 orang,” katanya

Beliau berkata di pejabat Maidam, Kuala Terengganu.

Sementara itu,Pegawai Maidam Daerah Marang, Md Maheran Yusoff mengakui agihan di daerah itu tahun ini berkurangan dan akan dilakukan secara berperingkat, melibatkan 5,218 orang terdiri daripada fakir miskin dan penerima bantuan bulanan Maidam.

Jumlah penerima pada tahun ini menurun berbanding tahun sebelumnya, iaitu 5,845 penerima.

“Jumlah agihan zakat yang diberikan kepada setiap penerima bagaimanapun meningkat iaitu sebanyak RM350, berbanding RM250 pada tahun lalu.

"Agihan wang zakat ini dibahagikan mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana kita sudah mulakan dari 2 Ogos dan dijangka berakhir pada 10 Ogos," katanya.

Menurutnya, pengagihan wang zakat kali ini dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik kerana pihaknya bekerjasama dengan Pejabat DUN bagi membolehkan ia diagihkan secara cepat dan terus kepada golongan sasar.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Agihan Wang Zakat sempena Hari Raya Aidilfitri peringkat DUN Alor Limbat di Masjid Tebakang kelmarin.

Majlis tersebut dirasmikan ADUN Alor Limbat, Alias Abdullah. Seramai 1,133 penduduk di DUN Alor Limbat layak menerima bantuan zakat pada tahun ini, melibatkan peruntukan sebanyak RM396,550.

Md Maheran berkata, seramai 1,731 penduduk di DUN Pengkalan Berangan juga menerima bantuan sama, melibatkan peruntukan sebanyak RM605,850 manakala 1,357 penduduk di DUN Rhu Rendang juga mendapat bantuan zakat yang berjumlah RM474,950.

Bagi DUN Bukit Payong pula, seramai 997 orang menerima bantuan zakat pada tahun ini melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM348,950.

No comments:

Post a Comment