Saturday, August 7, 2010

Parti Gerakan Buka 170 Cawangan Baru

Parti Gerakan kini semakin mendapat sokongan rakyat setelah mengalami kekalahan teruk sehingga kehilangan negeri yang pernah dikuasai pada pilihan raya umum Mac 2008

Presidennya Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata konsep perjuangan Gerakan masih menarik minat yang lain dan sepanjang lebih dua tahun selepas pilihan raya umum berlalu, parti itu kini kembali pulih.

"Sejak pilihan raya umum lepas, sudah ada 170 cawangan untuk ahli baru dibuka di seluruh negara. Kesemua cawangan ini telah dan sedang didaftarkan.

"Sebanyak 60 cawangan dibuka di Sabah, 20 di Pahang dan selebihnya di tempat-tempat lain seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan parti itu di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata anggota baru itu terdiri daripada pelbagai kaum terutama Sino-Kadazan dan Bumiputera di Sabah, empat cawangan di Raub, Pahang pula dibuka anggota berbangsa India.

Menurut beliau, Gerakan juga mendapat suntikan semangat dengan kemasukan dua wakil rakyat Bebas menganggotai parti itu.

Kedua-dua mereka ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Ho Yip Kap yang bertanding atas tiket Bebas pada pilihan raya umum lalu dan bekas Timbalan Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Datuk Raymond Tan Shu Kiah yang meletakkan jawatan setelah SAPP menarik diri daripada komponen Barisan Nasional (BN) turut menyertai Gerakan.

Koh yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata selain giat menambah anggota baru, parti itu juga ada inisiatif untuk menggerakkan kembali anggota yang tidak aktif.

Beliau berkata parti itu yang kini mempunyai 250,000 anggota, akan bangkit kembali pada pilihan raya umum akan datang, terutama di negeri-negeri yang pernah dikuasai seperti Pulau Pinang.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata parti itu menyokong dan akan terus memperjuangkan gagasan 1Malaysia.

Katanya, gagasan 1Malaysia yang mengutamakan perpaduan dalam kepelbagaian selaras dengan prinsip perjuangan Gerakan yang ditubuhkan sejak 42 tahun lalu.

"Walaupun terdapat beberapa suara terutama daripada pembangkang yang mempersoalkan 1Malaysia, kita pasti konsep ini sesuai dengan rakyat negara ini dan kita dalam Gerakan sedia bekerjasama dalam perjuangan ini," katanya.

No comments:

Post a Comment