Thursday, September 9, 2010

Ahmad Said Kunjungi Keluarga Arwah Fadli

Sumbangan peribadi Ahmad Said kepada keluarga arwah Mohd Fadli Muhammad - pemain bola tampar Sukma Terengganu yang meninggal dunia di Kampung Jeram Hilir, Manir. - Foto: Zulkipli Putra.
Kesedihan keluarga arwah Mohd Fadli Muhammad, pemain bola tampar Sukan Malaysia (Sukma) yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru 5 Julai lalu, sedikit terubat dengan kunjungan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said ke rumah arwah di Kampung Jeram Hilir, Manir, petang semalam. (8 September2010).

Menteri Besar ditemani isteri Toh Puan Seri Norliza Mahmud menyampaikan sumbangan peribadi kepada ibu arwah, Zabidah Salleh, 46, sebagai mengenang dan menghargai jasa atlit itu sepanjang menabur jasa mewakili negeri serta memberi semangat kepada keluarga arwah untuk menyambut lebaran esok.

Beliau turut mengucapkan takziah dan memohon maaf kerana tidak sempat hadir lebih awal kerana urusan rasmi dan lawatan awal itu sudah diwakilkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat.

Selain Rozi, hadir sama Pengarah Majlis Sukan Negeri, Rosdi Awang.

Sebelum ini, Rozi menyampaikan sumbangan Kerajaan Terengganu kepada keluarga mangsa sejurus selepas beberapa hari Mohd Fadli meninggal dunia.

To' Puan Seri Norliza bersama penduduk kampung ketika meziarahi keluarga arwah Mohd Fadli.

Sementara itu, Zabidah akan memastikan sumbangan yang dihulurkan pelbagai pihak akan digunakan untuk kebaikan arwah termasuk mengupah menunaikan Haji dan kenduri tahlil.

“Terima kasih kerana menteri Besar dan isteri sanggup datang ke rumah dan menyampaikan sumbangan itu. Semangat saya memang hilang untuk beraya, sejak arwah tiada dan pertama kali berhari raya tanpa arwah di sisi.
Bagaimanapun sebagai umat Islam kami tidak boleh melupakan sambutan Hari Raya dan tetap disambut secara sederhana.” katanya.

No comments:

Post a Comment