Thursday, September 9, 2010

eBook ke Pasaran Nasional Melalui Koperasi Angkat Sekolah

Azizan Abd. Aziz (kanan) dan Pengurus Pemasaran Noriani Draman (kiri) meneliti penggunaan e-book oleh Azmi Rahmat (tengah) di pejabat Utusan Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
utusanterengganu@utusan.com.my


eBook atau buku elektronik, satu langkah mendepani negeri-negeri lain melalui pendidikan yang dirintis oleh kerajaan Terengganu, akan mula dipasarkan ke seluruh negara.

Top IT Industries, sebuah anak syarikat milik kerajaan negeri yang membekalkan komputer riba mini eBook itu untuk anak negeri telah melantik Sutera Niaga Elit Sdn. Bhd. sebagai agen pemasaran dan pengedaran produknya di bawah skim Koperasi Angkat Sekolah.

Pelantikan yang dibuat baru-baru ini juga merangkumi aktiviti pemasaran, penjualan serta pengedaran melalui media dalam talian untuk pasaran tempatan.

Pengurus Besar Sutera Niaga Elit, Mohd. Rozali Masdol menyasarkan, sejumlah 90,000 unit dapat dijual menjelang Januari tahun depan.

Malah, beliau berkeyakinan produk tunggal di pasaran dengan kualiti setanding produk jenama antarabangsa ini akan mendapat sambutan meluas di sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan malah mampu mencecah 300,000 sepanjang tahun depan.

"'Komputer riba mini seberat hampir 1.2 kilogram dengan reka bentuk menarik dan tahan lasak, menggunakan teknologi intelCorp., dilengkapi perisian buku teks tahun 4,5,6, hubungan komuniti di samping al-Quran, doa, amalan solat dan kamus.

''Kemudahan yang terangkum ini ternyata mampu memupuk minat dan penguasaan teknologi maklumat sejak kecil dan masyarakat celik komputer.

"Ia juga dapat membudayakan IT dalam kehidupan masa kini selain mengatasi masalah menggalas beg sekolah yang berat," katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala Terenggan, semalam.

Katanya, ibu bapa tidak perlu bimbang kemungkinan disalahgunakan kerana mereka boleh mengawal capaian Internet melalui sistem kawalan yang telah tersedia di dalam eBook.

eBook untuk pasaran umum ini akan muncul dengan versi baru lebih menarik yang juga dilengkapi Intel Pineview M Atom Procesesor 45nm, FCBGA, single core N455 hingga 1.66GHz (512 KB L2 Cache, 533 FSB LCD 10.1 dgn 1024x600(Anti-Silau), perisian Window 7.

Menurut Mohd. Rozali, harga eBook tunai yang ditawarkan kini adalah RM1,088 juga boleh dibeli secara ansuran mudah melalui Skim Koperasi Angkat Sekolah dengan pendahuluan RM388 dan ansuran RM100 sebulan melalui potongan gaji majikan, Biro Angkasa atau kad kredit.
Sutera Niaga Elit berpusat di No.45-2 (aras 2), Jalan 3/93 Taman Miharja 55200 Kuala Lumpur dan maklumat lanjut boleh diperoleh melalui email bumitradinghouses@gmail.com atau talian 019-7176869.

''Di Portugal dan Venezuela, eBook dikatakan telah digunakan sepenuhnya di sekolah-sekolah di negara berkenaan.
''Sementara itu di Singapura, murid-murid sekolah tertentu hanya membawa mikrocip sahaja ke sekolah tetapi di dalamnya mengandungi pelbagai kandungan ilmu dan buku," katanya.

eBook diperkenalkan di sekolah rendah di negeri ini mulai tahun lalu sebagai suatu fasa baru dalam menggerakkan momentum kecemerlangan pendidikan Terengganu.

Sehingga kini, difahamkan kerajaan negeri telah membelanjakan kira-kira RM75 juta bagi menyediakan kemudahan percuma ini kepada 75,000 murid.
Idea penggunaan eBook di Terengganu dicetuskan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang melihat pembangunan negeri perlu bermula dengan pembanguan insan melalui pendidikan menyeluruh yang sempurna dalam suasana kondusif dan kemudahan terkini.

Ahmad melihat ia sebahagian daripada pelengkap kepada usaha penting ke arah melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi turut membangunkan minda serta sahsiah pelajar sebagai persediaan menghadapi cabaran global yang mana penguasaan teknologi menjadi penentu keupayaan.

Kerajaan negeri berani memulakan langkah ini walaupun menelan belanja kerana atas hasrat untuk melihatkan kemajuan anak bangsa dan menyedari ia memberi banyak manfaat jika dimanfaatkan oleh warga sekolah.
''Kita juga bakal mempunyai bank soalan yang mempunyai 300,000 soalan dan pada masa depan kita akan adakan kelas maya," katanya.

''Kita mesti berani mulakan terutama perkara yang memberi manfaat kepada rakyat walaupun dikecam," kata Menteri Besar, baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment