Saturday, September 4, 2010

Aidilfitri Paling Bermakna Penerima Kerakyatan Baru

SEGU Alaudeen @ Serajudeen Mohamed Rawther Thaha (tengah) gembira sambil menunjukkan sijil kewarganegaraan yang diterimanya kepada isteri dan sanak saudaranya di Kampung Chabang Tiga, semalam (3 Sept 2010). - Gambar Utusan

Selepas 48 tahun menanti, impian Seegu Alaudeen@Serajudeen Mohamed Rawther Thaha bergelar warganegara Malaysia termakbul akhirnya, walaupun dua kali permohonannya ditolak.

Seegu Alaudeen, 52, bekerja sebagai ketua cawangan sebuah pasar raya di Kuala Terengganu, berasal dari India Selatan dibawa bapanya berhijrah ke Malaysia pada 1962ketika usianya empat tahun.

Kali pertama beliau memohon mendapatkan kerakyatan ketika berumur 12 tahun dan kali kedua ketika beliau berumur 24 tahun, namun kedua-dua permohonan itu ditolak.

Tanpa berputus asa, beliau sekali lagi mencuba tiga tahun lalu dan impiannya itu menjadi kenyataan pada Jumaat.

Bagi Seegu Alaudeen, ia amat bermakna apabila kelulusan diterima hanya beberapa hari sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri dan lebih istimewa, sijil kewarganegaraannya diterima sendiri daripada Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong yang datang ke rumahnya di Simpang Tok Ku, Cabang Tiga, di Kuala Terengganu.

"Setiap kali lepas solat saya akan berdoa semoga permohonan saya menjadi warganegara ini dipermudahkan. Bila diberitahu permohonan diluluskan, tambah-tambah lagi dekat hari raya, tidak ada kata untuk menggambarkan betapa gembiranya saya.

"Aidilfitri kali ini menjadi Aidilfitri paling bermakna kerana saya akan menyambutnya sebagai warganegara Malaysia. Sekarang saya pun boleh berbangga kerana saya rakyat Malaysia," katanya ketika ditemui pada majlis ringkas penyerahan sijil kewarganegaraan itu.

Seorang lagi penerima, Syarifah Mohd Yaakob, 30, dari Kampung Ladang Titian, di sini berkata beliau langsung tidak dapat melelapkan mata semalam kerana teruja setelah diberitahu akan menerima sijil kewarganegaraannya hari ini.

"Sudah lama saya tunggu saat ini. Saya pohon pada tahun 2000, sekali saja pohon sudah dapat," katanya yang berasal dari Kemboja dan datang ke negara ini bersama ibu bapa dan tujuh adik-beradik ketika beliau berumur lapan tahun.

Turut menerima sijil kewarganegaraan ialah Nasirah Mohd Ali, 30, yang berasal dari Vietnam dan adik-beradik, Syarifah Shamirah Mohamed Salahudin, 8, dan adiknya, Mohd Sadruddin, 7, manakala empat lagi penerima akan dibuat dalam majlis berasingan.

Sementara itu, Lee berkata seramai sembilan pemohon di negeri itu yang mendapat kelulusan, bakal menerima sijil kewarganegaraan masing-masing, hari ini.

"Kesemua permohonan itu telah mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri," katanya.

Menurut beliau, setiap permohonan akan diteliti terlebih dahulu dan tidak sewenang-wenangnya diluluskan kepada pemohon untuk memastikan penerima taraf kewarganegaraan benar-benar bertanggungjawab dan tidak melakukan kesalahan seperti jenayah dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment