Saturday, September 4, 2010

ECER Mahu Tarik Pelabur Dari China

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) akan memulakan misi pelaburan pertamanya ke China minggu depan susulan kejayaan lawatannya ke Timur Tengah pada Mei.

ECERDC dalam satu kenyataan berkata ia juga akan menyertai Pameran Antarabangsa China bagi Pelaburan dan Perdagangan Ke-14 (CIFIT 2010) di Xiamen dari 8-11 September.

Delegasi ECERDC itu diketuai oleh Ahli Majlis, Tan Sri Lee Shin Cheng (gambar kanan), yang juga Pengerusi Eksekutif IOI Group.

Delegasi itu juga akan disertai Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Jebasingam Issace John, para pegawai kanan dan pegawai tertinggi dari negeri-negeri Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Sebagai pendahuluan kepada misi pelaburan itu, Lee dan Issace mengunjungi Duta China ke Malaysia, Chai Xi, untuk memberi taklimat ringkas kepada beliau mengenai penyertaan ECERDC dalam CIFIT 2010, serta projek ECER yang akan diperkenalkan kepada pelabur China.

Issace berkata ECER menawarkan insentif fiskal dan bukan fiskal yang menarik bagi meningkatkan pelaburan dalam pelancongan, minyak, gas dan petrokimia, pembuatan, pertanian dan pendidikan.

"Wilayah itu juga mempunyai prasarana baik, kawasan tanah yang luas, sumber semulajadi, modal insan yang berkualiti tinggi dan mudah untuk menjalankan perniagaan di sana.

"Dengan lokasi strategiknya dan sokongan kukuh kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri, ECER bakal menjadi pintu masuk perdagangan dan perindustrian utama.

"Ia juga menawarkan pelabur akses ke pasaran yang besar dan berkembang maju di Timur Jauh dan Asia Pasifik, dengan jumlah penduduk empat bilion dan gabungan KDNK US$17 trilion," katanya.

Issace juga menjelaskan, ini akan dipacu terutamanya daripada pembangunan Kuantan Port City, yang akan menukar Zon Ekonomi Khas ECER itu menjadi hab pembuatan dan perkhidmatan komersil, serta sebagai pusat pemerolehan serantau dan antarabangsa.

Projek-projek utama dalam ECER yang akan diperkenalkan semasa CIFIT 2010, termasuk pelancongan, terdiri daripada Pelancongan Pantai Tanah Besar Pantai Sepat, Pelancongan Pantai Tanah Besar Teluk Bidara, Pelancongan Pantai Tanah Besar Cherating, Pelancongan Pantai Pantai Penarik dan Pusat Bandar Raya Kuala Terengganu.

Dalam kluster minyak, gas dan petrokimia, ECERDC menyasar menarik pelaburan dalam Taman Polimer Kertih, Kompleks Industri Petroleum PETRONAS (PPIC), Kompleks Petrokimia Bersepadu Gebeng (GIPC) dan Taman Perindustrian Maritim Minyak dan Gas Tanjung Agas.

Dalam pembuatan, projek-projek yang akan diperkenal ialah Taman Perindustrian Automotif Pekan-Peramu, Taman Halal Gambang, Taman Halal Pasir Mas, Kluster Perindustrian Minyak Sawit dan Kuantan Port City.

Bagi pertanian, projek-projek utama ECER yang terbuka kepada pelabur ialah taman penternakan ayam itik di Kelantan and Pahang, penternakan ternakan di Terengganu dan Pahang, Perladangan Nanas Bersepadu, serta taman bioteknologi dan herba di Pahang dan Kelantan.

Projek pendidikan di ECER termasuk Taman Ilmu di Terengganu, serta Pusat ICT Terengganu.

Selain penyertaan ECERDC dalam CIFIT 2010, delegasi itu juga akan memberi taklimat kepada pelabur berpotensi dan mengadakan mesyuarat perniagaan dengan mereka pada 9 Sept.

No comments:

Post a Comment