Ahmad Razif Abd. Rahman bersama isteri, Halina Zakaria (kiri) melayan tetamu yang hadir ke majlis rumah terbukanya sempena Hari Raya Aidilfitri di Seberang Takir, Kuala Terengganu, kelmarin.
Kerajaan negeri akan mengadakan lawatan ke sebuah universiti di Korea Selatan yang menggunakan kelas maya dalam usaha memperkenalkannya di sekolah-sekolah di negeri ini.
''Kita akan bawa pegawai pendidikan daerah bersama untuk melihat pelaksanaan kelas maya tersebut di universiti berkenaan.
''Pelaksanaan kelas maya membolehkan seorang guru mengajar pelajarnya di kelas dari rumah atau di mana dia berada," kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman
Beliau berkata, pelaksanaan kelas maya berkenaan masih di peringkat perbincangan dan perancangan.
Sementara itu komputer bimbit e-Book yang diperkenalkan kerajaan negeri bagi membantu meningkatkan pendidikan di Terengganu akan mula dilaksanakan di sekolah menengah tahun depan.
Langkah tersebut sejajar dengan perancangan kerajaan negeri iaitu murid tahun enam yang menerima e-Book sebelum ini akan melangkah masuk ke tingkatan satu.
''Kita akan mulakan di tingkatan satu dahulu sebelum memperluaskan ke tingkatan lain dalam pelaksanaan e-Book di peringkat sekolah menengah.
''Pelajar yang akan memulakan pengajian di tingkatan satu tidak perlu disediakan e-Book baru kerana mereka sudah pun memiliki komputer tersebut," katanya ditemui di majlis rumah terbukanya sempena Hari Raya Aidilfitri di Seberang Takir di Kuala Terengganu, kelmarin.
Beliau berkata, para pelajar berkenaan hanya perlu mengemukakan e-Book mereka kepada pegawai bertugas untuk dinaik taraf program-program komputer terutama silibus pendidikan.
''Jika berlaku kerosakan kepada e-Book berkenaan, para pelajar hanya perlu menyerahkan kembali komputer untuk diperbaiki. Jika rosak kita akan ganti," katanya.
Ahmad Razif menambah, semua persediaan untuk melaksanakan e-Book di sekolah menengah telah dilakukan tahun ini.
''Persediaan tersebut termasuklah latihan kepada guru-guru dan kemudahan-kemudahan yang diperlukan untuk pelaksanaan e-Book ini," tambahnya.
Beliau berkata, 230 pegawai teknologi maklumat akan ditempatkan di sekolah-sekolah menengah pada 1 Oktober ini untuk membantu menaiktaraf e-Book berkenaan.
No comments:
Post a Comment