Pemain Selangor tidak boleh mengambil mudah bertemu pasukan T-Team, ini kerana wakil Terengganu itu berjaya menunjukkan prestasi cemerlang dalam saingan Liga Super musim ini dengan menduduki tempat keenam.
Jurulatih Selangor, K. Devan berkata T-Team adalah sebuah pasukan yang memiliki ramai pemain berpengalaman sambil dibantu oleh pemain muda berbakat dari skuad Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu walaupun sudah mengetahui kelemahan dan kekuatan mereka.
"Apa yang saya harapkan, pemain kami dapat bertindak bijak dan tidak mempersiakan peluang beraksi di gelanggang sendiri," katanya.
Juara Liga Super 2010 itu mahu mencari mata maksimum apabila memulakan kempen Piala Malaysia dengan menerima kunjungan T-Team di Stadium Shah Alam, malam ini dan berpegang kepada satu matlamat - mencatat kemenangan dalam semua perlawanan di tempat sendiri, sambil beraksi konsisten di gelanggang lawan.
Menurut Devan, dia berharap pemainnya menunjukkan fokus yang tinggi dalam perlawanan pertama Kumpulan D selepas berehat panjang di bulan Ramadhan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
"Saya mahu Selangor memulakan kempen Piala Malaysia dengan langkah kanan, terutama sekali beraksi di tempat sendiri. Kami tiada pilihan lain kecuali meraih tiga mata pertama," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Satu lagi perlawanan Kumpulan A menyaksikan KL Plus menentang PKNS di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, manakala Kumpulan B, Terengganu lawan Pahang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Lumpur bertemu Sabah di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Kumpulan C melibatkan pertembungan di antara Johor FC dan Kedah di Stadium JCORP, sementara itu Perak menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Perak, satu lagi perlawanan Kumpulan D menyaksikan Perlis bertemu Felda United di Stadium Utama, Kangar.
No comments:
Post a Comment