Thursday, September 9, 2010

ECERDC Rasmikan Petak Pameran Di CIFIT 2010

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), yang pertama kali menyertai Pameran Perdagangan China ke-14 untuk Pelaburan dan Perdagangan (CIFIT 2010) di Xiamen, merasmikan petak pamerannya di Xiamen semalam.

Kemunculan julung-julung kalinya di CIFIT 2010 ialah untuk mempromosikan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Malaysia, yang meliputi negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan wilayah Mersing di Johor.

Petak pameran ECERDC dirasmikan bersama timbalan pengarah pejabat hal-ehwal Seberang Laut, China, Xu You Sheng; Zeng Xiao Ming, Pengarah Hal-Ehwal Seberang Laut Wilayah Fujian dan Zhong Xing Guo, Ketua Setiausaha Wilayah Hai Chang, Xiamen.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Jebasingam Issace John dan anggota majlis Tan Sri Lee Shin Cheng serta pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar, Terengganu, Toh Chin Yaw (gambar kanan).

Lee (gambar kiri)ialah pengerusi eksekutif IOI Group.

Pameran itu bermula semalam dan berakhir pada Sabtu ini (11 September).

Antara tujuan utama petak pameran ECERDC ialah menyediakan maklumat mengenai peluang-peluang pelaburan yang ada di rantau itu serta memudahkan para pelabur yang berhasrat untuk menerokai hab perniagaan yang pesat ini.

ECER Malaysia meliputi kawasan seluas 66,000 kilometer persegi atau 51 peratus daripada Semenanjung Malaysia.

Jumlah populasinya ialah 3.9 juta atau kira-kira 14 peratus daripada jumlah populasi negara.

Pelaburan utama di ECER Malaysia pada masa ini tertumpu kepada industri minyak, gas dan petrokimia dan pelancongan, pembuatan, pertanian dan pendidikan.

No comments:

Post a Comment