Thursday, September 9, 2010

Siti tetap permata hati keluarga

Siti Solehah dilahirkan tanpa mulut dan hidung dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Walaupun Siti Solehah Mohd Mazolru, 10 bulan, dilahirkan tanpa hidung, mulut sumbing, pekak serta penglihatan yang semakin kabur, dia tetap permata kepada ibu bapa yang masih teruja melalui pengalaman Aidilfitri pertama bersama anak perempuan tunggal daripada empat beradik itu.

Biarpun Siti Solehah, anak kepada pasangan Mohd Mazolru Ibrahim, 30, dan Siti Haslina Sheikh Hussin, 33, dari Kampung Nibong, Panji Alam di sini, dilahirkan tidak sempurna, dia tetap menjadi penawar keluarga itu yang sebelum ini terlalu inginkan anak perempuan sebagai penyeri keluarga.

"Saya sekeluarga serta saudara mara tidak pernah kecewa dengan kehadirannya walaupun dia tidak seperti bayi lain, malah kehadirannya memberi seribu makna dalam keluarga kami.

"Sebagai hamba, saya akur dengan pemberian Ilahi tetapi tidak menafikan kesedihan timbul apabila tidak sanggup melihat dia terpaksa menanggung derita itu.

"Derita Siti Solehah hanya Allah SWT yang tahu dan kami sebagai ibu bapa hanya mampu melihat, berdoa dan berusaha setakat terdaya. Tidak dinafikan sesekali air mata mengalir apabila mengenangkan nasib dan masa depannya," kata Siti Haslina ditemui di Kuala Terengganu, kelmarin.

Lebih menyedihkan apabila bayi yang dilahirkan pada 11 November 2009 itu turut disahkan doktor memiliki otak kecil serta penyakit sawan berpanjangan, menambahkan lagi penderitaan bayi itu.

Siti Haslina berkata, bagi meneruskan hidup, anak bongsu daripada empat beradik itu terpaksa menggunakan tiub khas untuk minum dan tiub berkenaan yang berharga RM7 seunit hanya boleh digunakan dalam tempoh tiga hari saja.
"Memang kos penjagaan bayi seperti Siti Solehah tinggi kerana dia perlukan makanan khusus serta perlukan lampin pakai buang yang banyak," katanya.

Dia berkata, bagi mengelak sesuatu tidak diingini berlaku, dia kerap membawa Siti Solehah ke hospital bagi mendapatkan rawatan rapi setiapkali dia mengalami sawan.

"Penyakit sawan dialaminya bukan sawan biasa kerana memakan tempoh yang lama adakalanya sehingga 24 jam secara berterusan dan hanya berhenti ketika dia tidur. Jika diserang sawan doktor akan memasukkan sejenis ubat ke dalam tubuhnya dan adakalanya diberi dalam kuantiti yang banyak," katanya.

Siti Haslina berkata, bagi menjamin kesihatannya tidak terjejas, doktor menyarankan bayi itu dirawat sepenuh masa di hospital dan kini sudah hampir lebih tiga bulan Siti Solehah menjadi `anak angkat' Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini dan ditempatkan di Wad 6, hospital berkenaan.

Difahamkan, berdasarkan laporan doktor HSNZ, pembedahan mulut dan hidung Siti Solehah tidak boleh dilakukan kerana keadaannya yang memiliki otak yang kecil tidak mampu mengimbangi ubat bius yang dimasukkan ke dalam badannya untuk pembedahan.

Berita Harian

No comments:

Post a Comment