Guru-guru Kelas Asas Fardhu Ain (Kafa) di negeri ini disaran menghantar tuntutan elaun mereka mengikut masa yang ditetapkan bagi mengelak berlakunya kelewatan bayaran.
Yang Dipertua Persatuan Guru-Guru Kafa dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) Terengganu, Mohamad Jusoh berkata, sekiranya guru-guru berkenaan lewat menghantar tuntutan selepas 3 hari bulan pada setiap bulan ke pejabat Yayasan Islam Terengganu (YIT) di daerah masing-masing, ia menyebabkan urusan bayaran lewat diproses.
Katanya, jika lewat, tuntutan itu hanya akan dapat diproses pada bulan berikutnya dan pembayaran akan dapat dibuat sebulan atau dua bulan kemudian.
"Adalah menjadi prosedur jabatan kerajaan, setiap tuntutan mesti diterima sebelum atau pada tarikh itu dan jika terlewat, maka lewatlah proses pembayaran dilakukan," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar baru-baru ini yang mendedahkan kekecewaan segelintir guru Kafa di negeri ini yang dikatakan lewat menerima bayaran elaun sehingga dua bulan.
Mereka juga mendakwa terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk membuat salinan kertas-kertas soalan peperiksaan kepada pelajar yang memerlukan kos antara RM40 hingga RM80 bagi sekali peperiksaan.
Mohamad berkata, beliau akan mencadangkan kepada pihak YIT untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri bagi menampung pembayaran kertas-kertas soalan itu pada masa hadapan.
Dalam perkembangan lain katanya, YIT diminta bekerjasama dengan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) bagi menyelaras dan melaksanakan skim kursus khas jangka pendek kepada guru-guru Kafa khususnya tentang kaedah pengajaran dan pembelajaran.
"Latihan itu perlu bagi memberi pendedahan dan teknik mengenai kaedah mengendalikan pengajaran secara optimum dan berkesan kepada pelajar dan JPNT mempunyai ramai pakar," katanya.
No comments:
Post a Comment