Wednesday, September 1, 2010

Kemaman Berpotensi Dimajukan Sebagai Destinasi Beli-Belah

Daerah Kemaman berpotensi dimajukan sebagai destinasi beli-belah utama di Terengganu, kata Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Terengganu Zaini Sulaiman kelmarin.

Beliau berkata selain memiliki pantai yang sering dikunjungi pelancong, pusat beli-belah Mesra Mall di Kemasik merupakan lokasi strategik dan berpotensi dimajukan bagi membantu mengembangkan ekonomi setempat.

“Walaupun kedudukannya agak jauh dari bandar Kuala Terengganu, ia strategik kerana menjadi persinggahan untuk mereka yang ingin ke Kuantan, (begitu) juga sebaliknya,” katanya kepada pemberita selepas berdialog dengan mereka yang terbabit dalam industri pelancongan di negeri itu termasuk pemandu pelancong di di sini.

Zaini berkata Terengganu masih kekurangan elemen beli-belah walaupun negeri itu paling banyak menerima pelancong dari dalam dan luar negara pada setiap tahun.

“Kebanyakan (pelancong) melawat tempat-tempat menarik seperti pulau dan sebagainya, sehubungan itu, kita akan menekankan elemen beli-belah di sini kerana ia berjaya menarik pelawat dari luar negara berkunjung ke negara ini dan menarik minat rakyat tempatan berbelanja di tempat sendiri,” katanya.

Beliau berkata Tourism Malaysia sendiri mengatur program berasaskan aktiviti beli-belah sebanyak empat kali setahun seperti jualan mega dan jualan hujung tahun sejak 10 tahun lepas.

Sementara itu, pengurus besar pengurusan pusat Mesra Mall Michael Vong berkata setakat ini, pusat beli-belah yang dibuka Oktober 2008 itu menerima 3.6 juta pengunjung dan perolehan tahunannya kira-kira RM64 juta.

Beliau berkata jumlah pengunjung dijangka bertambah sekali ganda dengan pembukaan pawagam di pusat beli-belah itu selewat-lewatnya Oktober ini.

“Ini kerana sebelum ini, penduduk di Terengganu dan Kelantan terpaksa ke Kuantan, Pahang jika ingin menonton wayang,” katanya sambil menambah bahawa pihaknya kini menunggu kelulusan lesen daripada pihak berkuasa sebelum beroperasi.

No comments:

Post a Comment