Thursday, September 2, 2010

Peserta 5 Rancangan Felda Dapat Duit Raya

Rosli Mat Hasan (dua dari kanan) bersama wakil-wakil peneroka Felda semasa majlis menyampaikan cek sumbangan Hari Raya di Masjid Felda Kerteh 4, Kemaman, kelmarin.

Seramai 2,132 peneroka di lima rancangan Felda di dalam Parlimen Dungun menerima duit raya yang keseluruhannya berjumlah RM666,800.

Ia melibatkan 1,735 peneroka bersama Felda yang masing-masing menerima RM350 manakala 397 orang lagi yang tidak bersama Felda menerima RM150.

Majlis penyampaian melalui ketua-ketua peneroka diadakan petang semalam di Masjid Kerteh Empat dalam satu majlis berbuka puasa.

Penyampaian dilakukan oleh Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan dan turut dihadiri para pegawai Felda wilayah.

Para peneroka itu merupakan sebahagian daripada 7,458 peneroka di seluruh negeri ini yang menerima sumbangan Felda keseluruhannya berjumlah RM2.43 juta bagi meriahkan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini.

Peruntukan terbesar ialah bagi Parlimen Kemaman yang mempunyai enam tanah rancangan berjumlah RM818,700 untuk diagihkan kepada 2,362 peneroka.

Sempena majlis itu juga, Rosli turut menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak pendidikan khas di samping guru mereka.

Berucap pada majlis tersebut Rosli berkata, peneroka Felda merupakan antara golongan paling bertuah kerana sentiasa mendapat pembelaan daripada agensi itu dan kerajaan.

Katanya, segala perhatian yang diberikan bagi membangunkan kehidupan mereka sejak dahulu sehingga kini hanya boleh dilakukan oleh kerajaan yang berkeupayaan dan prihatin.

‘‘Tanah rancangan Felda merupakan kehebatan kepimpinan negara dalam merancang masa depan rakyatnya yang cuba ditiru oleh banyak negara tetapi gagal.

‘‘Malangnya di kalangan peneroka sendiri ada yang tidak mensyukuri dan menghargainya, malah bersama dengan golongan tertentu untuk menjejaskan Felda yang banyak berjasa kepada mereka,” ujarnya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment