Sunday, September 5, 2010

Lapangan Terbang Sultan Mahmud Akan Dinaik Taraf

Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Kuala Terengganu akan dinaik taraf menjadi lapangan terbang antarabangsa tidak lama lagi, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat Majlis Tindakan Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Putrajaya baru-baru ini.

"Ia boleh memantapkan lagi sektor pelancongan di Terengganu di mana pembangunan ekonomi negeri pada masa akan datang tidak lagi bergantung kepada minyak dan gas tetapi sektor pelancongan," katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas Majlis Bertemu Guru-guru Kuala Terengganu Utara di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak di Kuala Terengganu.

Ahmad Said berkata lapangan itu kelak diharap akan menjadi pintu masuk utama ke Pantai Timur apabila menerima penerbangan terutama dari negara Indochina dan Selatan China.

LTSM merupakan lapangan terbang yang mempunyai landasan ketiga terpanjang di negara ini selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Subang.

Sebelum ini, LTSM telah beberapa kali menjadi pangkalan penerbangan terus ke Jeddah dan Madinah untuk membawa jemaah haji dari Pantai Timur.

No comments:

Post a Comment