Monday, September 6, 2010

Polis Tahan 21 Warga Asing Salah Guna Pas Lawatan Sosial

Polis menahan 21 warga asing kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial ke negara ini dalam Ops Noda yang dilakukan sepanjang Ramadan ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Supt Zamri Shamsuddin berkata dalam tempoh tesebut 17 serbuan dilakukan dan daripada 21 warga asing yang ditahan itu masing-masing 18 wanita warga Thailand, dua wanita dari Laos dan seorang lelaki dari Myanmar.

"Mereka ditahan di bawah Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963 iaitu kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosial ke negara ini dan disyaki bekerja sebagai pelayan di pusat-pusat hiburan di bandar raya ini," katanya di Kuala Terengganu, Ahad.

Zamri berkata serbuan dibuat ke atas lima pusat hiburan itu adalah hasil maklumat daripada orang awam serta risikan.

Katanya polis juga telah menahan tiga pemilik premis di bawah Seksyen 55(b) Akta Imigresen 1963 atas kesalahan mengambil atau menggaji seseorang yang tidak memiliki pas yang sah.

"Kita akan tahan selama 15 hari untuk jalankan siasatan sebelum mereka dituduh di mahkamah," katanya.

Polis juga telah mengeluarkan saman ke atas empat daripada lima pusat hiburan itu di bawah Seksyen 61 Enakmen Hiburan dan tempat-tempat hiburan di negeri ini kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah.

Zamri berkata selain Ops Noda, polis juga mengadakan Ops Lejang iaitu mencegah curi motosikal, Ops Pintu (pecah rumah) dan juga Ops Rentap (Ragut) pada bulan Ramadan ini.

"Hasil operasi itu kita berjaya membendung peningkatan biasa kes-kes curi motosikal, pecah rumah dan juga kes ragut," katanya.

Beliau berkata, menjelang hari raya ini polis juga telah mengeluarkan notis yang akan diletakkan di peti-peti surat menasihatkan orang ramai supaya menjaga keselamatan harta benda mereka.

"Kita harap orang ramai dapat beri kerjasama dengan memaklumkan kepada polis di balai-balai berdekatan jika ingin bercuti panjang semasa raya ini. Masukkan sekali nombor telefon untuk kemudahan pesanan ringkas (SMS) di dalam notis-notis berkenaan bagi kemudahan polis," katanya.

No comments:

Post a Comment