Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berjaya mengutip RM163,338 bayaran zakat yang dilakukan melalui kad kredit sejak awal tahun hingga akhir bulan lepas.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Wan Harujan Sulaiman berkata sejak khidmat berkenaan diperkenalkan di negeri ini pada 1 Jan lepas, sebanyak 140 transaksi telah dilakukan dengan kadar bayaran setiap transaksi antara RM200 hingga RM4,000.
"Memandangkan sambutan menggalakkan ini dan orang ramai mula memahami kesenangan penggunaannya, Maidam akan menambah dua lagi terminal baru pada tahun depan iaitu di Pusat Zakat Dungun dan Pusat Zakat Besut," katanya dalam kenyataan di Kuala Terengganu, kelmarin.
Setakat ini, katanya terminal pembayaran zakat dengan kad kredit ini telah dipasang di Ibu Pejabat Maidam di Kompleks Seri Iman dan di Surau Syed Sagaf (Kuala Terengganu), serta Pusat Zakat Kerteh dan Pusat Zakat Kemaman.
Beliau berkata bagi menarik orang ramai untuk menggunakan kemudahan itu, Maidam akan meneruskan penerangan mengenainya melalui media masa serta pameran-pameran yang disertai oleh jabatan itu dari masa ke semasa.
Pembayaran zakat dengan menggunakan kad kredit telah diluluskan penggunaannya oleh Jawatankuasa Fatwa Terengganu pada 8 Jun tahun lepas dengan syarat kad kredit berkenaan berteraskan hukum syarak.
No comments:
Post a Comment