Dua jaringan Abdul Manaf Mamat memusnahkan usaha Sabah menghadiahkan kemenangan pertama dalam saingan Kumpulan B Piala Malaysia apabila mengikat tuan rumah 2-2 di Stadium Likas, malam tadi.
Keputusan itu sekali gus mengulang episod kehampaan Sabah yang sebelum ini turut seri 0-0 dengan Kuala Lumpur pada aksi pembukaan kumpulan Selasa lalu manakala Terengganu pula meraih satu mata sulung.
Beraksi di depan kira-kira 10,000 penonton, Sabah kelihatan garang apabila menyerang bertubi-tubi kubu lawan sebelum memecah kebuntuan sejurus sebelum wisel rehat menerusi Mohd Farid Idries yang menolak masuk hantaran silang Zainizam Marjan dari kanan pintu gol.
Sebaik babak kedua bermula, pasukan tuan rumah terus menambah jaringan pada minit ke-54 selepas perebutan dalam kotak penalti menyaksikan Rosdin Rosli menanduk hantaran kepada Zainizam yang kemudian ditanduk masuk untuk gol kedua Sabah.
Bagaimanapun, kesilapan pemain Sabah, Zulamri Mohamad yang menarik baju Abdul Manaf di dalam kawasan bahaya menukar kemeriahan pesta gol tuan rumah apabila Abdul Manaf menyempurnakan sepakan penalti menumpaskan penjaga gol, Azizon Abdul Kadir.
Jaringan itu menyuntik semangat pelawat khususnya Abdul Manaf yang mengumpan hantaran ke dalam kotak penalti, empat minit selepas itu, sebelum disudahkan Mohd Firdaus Md Fauzi untuk mengesahkan satu mata Terengganu.
Sementara itu, dalam satu lagi aksi Kumpulan B, pertemuan antara Pahang dan Kuala Lumpur yang sepatutnya berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan dibatalkan berikutan masalah lampu limpah yang tidak berfungsi.
No comments:
Post a Comment