Thursday, September 16, 2010

MAJLIS AIDILFITRI MENTERI BESAR DI KEDIAMAN TELUK KALONG

Hari ini (16 September 2010), Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri, Toh Puan Seri Nurliza Mahmud mengadakan Majlis Aidilfitri di kediaman mereka di Teluk Kalong, Kemaman.

Majlis akan berlangsung selama enam jam - antara jam 10 pagi hingga 4 petang.

Sudah pasti penduduk di Kemaman dan sekitarnya akan mengunjungi Menteri Besar saperti tahun-tahun sebelum ini.

Bediri berjam-jam menyambut tetamu yang tidak putus-putus datang pada sambutan di Seri Iman 10 September lalu. Gambar -TeganuKita

Dijangkakan kira-kira 12,000 rakyat di Kemaman, Dungun dan Kuantan akan hadir pada majlis itu. Tahun lalu lebih 10,000 menghadiri majlis ini.

Bagi Ahmad Said, seperti dalam perutusan Aidilfitrinya, beliau menyeru supaya masyarakat Terengganu menjadikan sambutan hari raya sebagai landasan bagi memperkukuhkan ikatan perpaduan di kalangan umat Islam dan kaum-kaum lain selaras dengan gagasan 1Malaysia.

Rakyat pelbagai keturunan menghadiri sambutan Aidilfitri di Seri Iman pada Hari Raya pertama.

Katanya, budaya kunjung-mengunjung dan bermaaf-maafan perlu terus disuburkan dan diwarisi oleh generasi baru supaya tidak sampai dilupakan adat yang bersendikan agama itu.

Sebelum ini Menteri Besar sudah mengadakan majlis sambutan Aidilfitri di Seri Iman Kuala Terengganu pada Hari Raya pertama (Jumaat, 10 September 2010).

Lebih 10,000 rakyat mengunjungi majlis rumah terbuka Aidilfitri Menteri Besar yang bermula 10 pagi itu daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kaum termasuk Ahli Parlimen, wakil rakyat dan pemimpin masyarakat, pegawai kerajaan dan pesara, pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat biasa dari kampung-kampung.

Malah, Menteri Besar dan isteri berdiri berjam-jam tanpa jemu-jemu untuk tidak menghampakan pengunjung yang mahu bersalam dan menyampaikan ucap selamat hari raya kepada mereka berdua.

Terdapat juga tetamu yang mengambil peluang untuk bergambar kenang-kenangan bersama Menteri Besar dan isteri sempena rumah terbuka itu.
Walaupun rumah terbuka itu sepatutnya berakhir jam 3.00 petang, tetapi di luar waktu itu masih ada lagi rakyat yang datang mengunjungi Menteri Besar dan isteri yang terus berada pada majlis itu untuk tidak menghampakan pengunjung.

Pada Hari Raya Kedua pula, beliau menghadiri Majlis Aidilfitri Bersama Perantau yang dianjurkan Kerajaan Negeri dan diadakan di Hotel Primula.

Pada majlis itu Ahmad Said meminta rakyat Terengganu yang tinggal di luar negeri untuk bersama-sama kerajaan negeri dalam membangunkan negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri memerlukan bantuan rakyat untuk menyediakan perkhidmatan terbaik untuk rakyat sendiri termasuk dalam membawa pembangunan di negeri ini.

‘‘Berilah kerjasama dan buah fikiran serta pandangan kepada kerajaan negeri dalam membantu membangunkan Terengganu selain menyediakan khidmat terbaik untuk rakyat,” katanya bagi membolehkan Terengganu mencatatkan lebih banyak kejayaan.

Ahmad Said melayani tetamu pada majlis Aidilfitri bersama Perantau.

No comments:

Post a Comment