Gara-gara menyamar sebagai penculik, seorang pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini ditahan polis semalam kerana memeras wang tebusan.
Pelajar itu cuba menjadikan seorang bapa yang 'kehilangan' anak perempuannya dalam satu kejadian di Jalan Jerangau-Ajil, Hulu Terengganu pada 31 Julai lalu sebagai mangsa.
Ia ekoran mangsa yang membuat kenyataan di sebuah akhbar tempatan pada 5 September lalu memaklumkan bahawa anak perempuannya berusia 15 tahun telah diculik dan meminta bantuan orang ramai yang menjumpai anaknya itu menghubunginya melalui nombor telefon peribadi yang dipaparkan.
Pada malam yang sama, mangsa telah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada orang yang tidak dikenali yang meminta wang tebusan sebanyak RM7,000 bagi membebaskan anaknya itu.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Supritendan K. Manoharan berkata, mangsa yang ragu-ragu dengan SMS berkenaan bertindak membuat laporan polis kerana anaknya itu sebenarnya bukan diculik seperti yang dilaporkan tetapi mengikut teman lelaki.
Katanya, ekoran itu, pihak polis menyiasat nombor telefon yang digunakan oleh suspek terbabit untuk memeras wang tebusan itu dan menemui ia didaftarkan atas nama seorang wanita yang merupakan kenalan suspek.
"Melalui wanita itu, suspek berjaya dikesan dan ditahan pada pukul 1.30 petang semalam di rumahnya di Teluk Pasu, Manir.
"Bagaimanapun hasil siasatan, suspek berkenaan tiada kaitan dengan kehilangan remaja 15 tahun itu namun dia bertindak demikian sekadar ingin mencuba dan mengganggu bapa remaja tersebut yang sedang mengalami masalah," katanya ketika ditemui di Kuala Terengganu, semalam.
No comments:
Post a Comment