Wednesday, September 1, 2010

Pembinaan Masjid Raja Terbengkalai Lagi...

Masjid Raja di Bukit Besar Kuala Terengganu yang terbengkalai dan sudah dua kali tertangguh pembinaannya.

Pembinaan Masjid Raja di Bukit Besar Kuala Terengganu gagal disiapkan kerana kontraktor terbabit tidak mampu lagi untuk meneruskan pelaksanaan projek itu.
Kontraktor itu menghantar surat pengakuan kepada kerajaan negeri untuk tindakan seterusnya.

Jurucakap Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuala Terengganu sudah memanjangkan surat berkenaan kepada Pejabat Kewangan Negeri selaku pihak berkuasa dan menunggu keputusan selanjutnya.

Katanya, setakat ini pihaknya belum membuat keputusan bentuk tindakan terhadap kontraktor itu termasuk berkemungkinan syarikatnya disenarai hitam kerana kajian secara terperinci perlu dilakukan.

Projek dianggarkan RM7.1 juta itu gagal disiapkan walaupun sudah dua kali dilanjutkan.

Projek dimulakan pada 21 Januari 2008yang dijangka boleh menampung lebih 3,500 jemaah sepatutnya siap pada 12 April 2009.

Namun, disebabkan kontraktor gagal menyiapkan kerja, JKR Daerah Kuala Terengganu melanjutkan tempoh penyiapan kali pertama pada 6 Januari lalu.

Bagaimanapun, kontraktor terbabit masih gagal melaksanakan tanggungjawab dan tarikh penyiapan projek kali kedua dilanjutkan sehingga 22 Jun lalu.

Menurut laporan Berita Harian hari ini, projek pembinaan Masjid Raja Bukit Besar yang terbengkalai itu pernah dibangkitkan wakil rakyat PAS, Mohd Abdul Wahid Endut pada persidangan Dewan Undangan negeri (DUN) awal bulan ini, tetapi tidak dijawab wakil kerajaan.

Walaupun masjid sementara dibina berhampiran kawasan projek, ia tidak mampu untuk menampung jumlah jemaah untuk bersolat tarawih dan solat Jumaat.

Kedudukan masjid yang hanya terletak kira-kira 300 meter dari jalan utama dan kemudahan tempat letak kereta yang luas disediakan menyebabkan masjid itu menjadi tumpuan penduduk untuk menunaikan solat.

Kegagalan kontraktor menyiapkan pembinaan masjid baru menyebabkan segelintir ahli kariah terutama penyokong parti pembangkang menuding jari menyalahkan kerajaan kerana sebelum ini mereka pernah berhimpun dan memasang kain sepanduk membantah kerja pembinaan masjid baru.

Beberapa jawatankuasa masjid Raja Bukit Besar ketika dihubungi enggan mengulas lanjut, sebaliknya mereka serahkan kepada kebijaksanaan kerajaan negeri, termasuk melantik segera kontraktor baru untuk melaksanakan projek.

“Kita sudah mengadakan perjumpaan dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) serta JKR Daerah Kuala Terengganu dan mereka mengesahkan kontraktor baru akan dilantik meneruskan kerja.

“Walaupun sebahagian ahli kariah kecewa kerana impian untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid baru tidak kesampaian, kami serahkan atas kebijaksanaan kerajaan untuk menyelesaikan isu itu, tetapi kami berharap agar masjid itu dapat digunakan sepenuhnya Aidilfitri tahun depan,” kata jawatankuasa yang enggan dikenali.

Tinjauan Edisi Timur mendapati kawasan rumah kongsi di tapak masjid itu dipenuhi sampah-sarap termasuk tin kosong dan jika dibiarkan boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Berdasarkan keadaan bangunan masjid itu, difahamkan kontraktor sudah melaksanakan kerja pembinaan kira-kira 50 peratus.

No comments:

Post a Comment