Tuesday, September 21, 2010

Penagih Dadah Di Terengganu Meningkat 1,366.67 Peratus

Langkah drastik bersepadu perlu dilakukan segera kerana Terengganu kini merekodkan jumlah penagih dadah yang tinggi sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini.

Peningkatan ialah sebanyak 1,584 penagih berbanding hanya 108 bagi tempoh yang sama tahun lalu iaitu meningkat kepada 1,366.67 peratus.

Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri Terengganu Wan Addenan Wan Mohd Noor berkata, daerah Besut mencatatkan bilangan penagih paling tinggi iaitu seramai 445 diikuti daerah Kemaman (351) dan Kuala Terengganu (229) manakala Dungun (188), Hulu Terengganu (128) dan Setiu (91).

"Kita dapati daerah-daerah yang berada di sempadan mecatatkan penagihan yang tinggi seperti Besut dan Kemaman manakala daerah-daerah lain juga turut meningkat," katanya ketika ditemui pada majlis Hari Raya AADK negeri Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata, mengikut profil penagih, 98.2 peratus adalah lelaki dan 98.5 peratus merupakan keturunan Melayu manakala 78.53 peratus terdiri daripada golongan belia yang berumur antara 19 dan 39 tahun.

Katanya, sebanyak 32.36 peratus penagih pula mengambil methamphetamine, 12.63 peratus morfin manakala 9.72 peratus penagih amphetamine.

"Sebanyak 42.02 peratus daripada mereka mengaku mula terjebak dengan dadah disebabkan oleh pengaruh rakan," katanya.

Beliau berkata, sehingga bulan lepas, bilangan kes pemulihan dalam komuniti di Terengganu yang direkodkan seramai 3,266 orang.

Mereka terdiri daripada bekas penagih yang telah menjalani pemulihan di institusi (266 orang), dijatuhkan hukuman oleh mahkamah (461 orang), dibebaskan dari penjara (2,477 orang), dan juga kes sukarela (108 orang) manakala dari jumlah tersebut 97.89 peratus adalah lelaki.

Wan Addenan menasihatkan ibu bapa atau penjaga memberi perhatian yang serius kepada anak-anak mereka supaya tidak terjebak dengan gejala dadah.

Sementara itu beliau berkata, AADK negeri Terengganu akan membuka sebuah lagi Pusat Khidmat AADK di Besut bulan depan sebagai pusat rawatan dan pemulihan bagi penagih dadah.

Katanya sebelum ini AADK telah membuka pusat itu di Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu pada tahun lepas bagi membantu merawat dan memulihkan penagih daripada ketagihan dadah secara percuma.

1 comment:

  1. wei la ganung. pat kawe ngaji mulo. x seko jd lagu ni. dok eh. hok jadi ko sokong ameno laknat tu kijoe apo. sie pok2 demo. baik klate la kalu lagu ni. rakyat seking pung xpo asal hidup line

    ReplyDelete