Tuesday, September 21, 2010

Rawatan Terapeutik Guna Kuda Tarik Minat Tuanku Mizan

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin diberi penerangan oleh Debbi Wilson (dua dari kiri) mengenai terapi kuda ketika melawat Lucky Harvest Therapeutic Riding Center, Hinchinbrook, Quebec, Montreal. 20 Sept. Foto Bernama

Projek rawatan terapeutik untuk kanak-kanak istimewa dan orang kurang upaya menggunakan kuda menarik minat Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang berkenan melawat Lucky Harvest Therapeutic Riding Center, di Hinchinbroooke, Quebec.

Tuanku Mizan yang disambut penyelaras dan pengajar pusat berkenaan Debbie Wilson, mendengar taklimat berhubung projek itu selain beramah mesra dengan mereka yang terlibat di dalam program berkenaan.

The Lucky Harvest Project ditubuhkan pada Disember 1990, dengan misi utama untuk membantu memperbaiki tubuh, fikiran, dan semangat anak-anak dan orang dewasa yang mempunyai kecacatan fizikal, intelektual, cacat pertumbuhan, sosial, dan emosi, melalui terapi.

Program itu selaras dengan fokus Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) untuk membantu golongan kurang upaya (OKU), khususnya dalam penjagaan kesihatan.

Tuanku Mizan yang merupakan Pengerusi YDSM kini dalam rangka kerja Tugas Khas ke Kanada sempena program 'Brain Gain' Malaysia yang mana YDSM merupakan penerima gerannya.

Rawatan terapeutik di Lucky Harvest bermula dengan memadankan pesakit dengan kuda yang bersesuaian berdasarkan keadaan fizikal pesakit.

Rawatan di pusat itu merangkumi kecacatan fizikal, mental, dan emosi seperti Cerebral Palsy, Sindrom Down dan Rett, gangguan neuromuskuler, kecederaan otak pasca-trauma, autisme, ADHD, dan gangguan kognitif

Debbie ketika ditemui wartawan RTM dan Bernama sebelum lawatan Tuanku Mizan berkata pada masa ini terdapat kira-kira 40 kanak-kanak menjalani latihan setiap tahun dengan kira-kira lapan kanak-kanak mengikuti terapi setiap Sabtu.

"Kami guna kuda sebagai alat bagi membantu memulih dan menggalakkan kesejahteraan bagi kanak-kanak yang kurang upaya. Kami juga gunakan kuda sebagai cara mendapatkan tingkah laku tertentu...kuda-kuda ini sangat sensitif, jadi seorang kanak-kanak yang mempunyai tingkah laku tertentu perlu mengawal tingkah lakunya dalam usaha mendapatkan kuda itu melakukan apa yang mereka mahukan, " katanya.

Debbie berkata 80 peratus daripada kanak-kanak yang menyertai program itu mempunyai masalah pertuturan dan 60 peratus daripada mereka adalah autistik.

Bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah pertuturan, pusat itu menumpukan kepada keupayaan bahasa mereka manakala kanak-kanak autistik dapat mendekati kuda kerana ia merupakan alat komunikasi bagi mereka, katanya.

"Anggota keluarga tidak mempunyai banyak khidmat yang lain di sini. Jadi untuk melihat anak-anak anda yang tidak tahu bermain hoki, tidak boleh menari ballet atau menyertai bola sepak atau kegiatan kumpulan sosial, tunggangi dan kawal kuda seberat 1,000 paun benar-benar mengagumkan," katanya.

Semua kuda yang digunakan dalam program itu dipilih dan dilatih dengan teliti.

Mengenai lawatan Tuanku Mizan, Debbie menyifatkannya sebagai peluang yang baik bagi menggalakkan lebih ramai orang terbabit dalam program itu di seluruh dunia.

"Lawatan ini merupakan peluang kepada kami bagi menyedarkan lebih ramai orang mengenai khidmat kami di sini kerana kami tidak mempunyai kemampuan atau sumber bagi menggalakkan projek berskala besar," katanya.

Terletak kira-kira satu jam perjalanan dari Montreal, Lucky Harvest Therapeutic Riding Centre di Hinchinbrooke merupakan pusat terapi berkuda Quebec yang pertama menerima sijil akreditasi.

No comments:

Post a Comment