Wednesday, September 15, 2010

PLBT Terbuka, Jaga Kepentingan Pelumba Terengganu

Ahmad Said meneliti laporan akhbar yang melaporkan PLBM 'bengang' dengan penubuhan pasukan Benua Terengganu. - Gambar Zulkifli Putra

Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) mengatur rancangan jangka pendek dan panjang, selain mempunyai sikap terbuka tidak seperti didakwa sesetengah pihak.

Berikutan itu PLBT berkemungkinan pada suatu masa nanti, akan mengambil pelumba-pelumba bertaraf dunia seperti dari Jepun, Korea atau Iran untuk memantapkan pasukan benua Terengganu.

Dengan kata lain, ia tidak bergantung kepada pelumba anak tempatan semata-mata.

Rabu lalu, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahamd Said melahirkan rasa kesal terhadap kecaman yang dibuat oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berhubung langkah negeri itu menubuhkan pasukan basikal benuanya.

Ahmad Said berkata PKBM tidak sepatutnya meluahkan kecaman mereka melalui media kerana ada saluran lain yang boleh diselesaikan dengan cara yang lebih berhemah.

"Kita berunding di peringkat negeri, kalau mereka (PKBM) tidak bersetuju beritahulah kita melalui badan gabungan mereka di Terengganu. Kalau mereka (PKBM) kata tidak boleh tubuh persatuan dan lebih baik tubuh kelab, tidak ada masalah, kita ikut saja.

"Yang penting kita mahu satu pasukan yang boleh melibatkan pelumba Terengganu dalam Le Tour de Langkawi (LTdL)," tegasnya.

Akhbar pada Rabu melaporkan tindakan Terengganu menubuhkan pasukan basikal benua telah menerima kecaman daripada Presiden PKBM Abu Samah Wahab, antara lain kerana ia tidak mengikut prosedur yang ditetapkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Ahmad Said berkata Terengganu menubuhkan persatuan basikal profesional itu adalah semata-mata inginkan sebuah pasukan dari Terengganu turut menyertai perlumbaan antarabangsa LTdL serta acara-acara peringkat antarabangsa yang lain kerana Terenggnau mempunyai ramai pelumba basikal berbakat.

"Sepatutnya PKBM menyambut baik rancangan Terengganu itu bagi meningkatkan sukan lumba basikal di negara ini," katanya.

Apapun, PLBT tetap mengambil langkah proaktif apabila mengambil peluang Hari Raya Aidilfitri ini untuk berbincang dengan pelumba-pelumba basikal benua Terengganu dan langkah ini sangat sesuai dan kena dengan masanya.

Ini kerana ramai pelumba basikal Terengganu pada ketika ini berada di Terengganu berhari raya dengan keluarga mereka.

Tindakan Yang di-Pertuanya Datuk Ahmad Sidi Ismail (gambar kiri) sesuai kerana antara pelumba yang ‘balik kampung’ ialah Mohd Zamri Salleh, Mohd Shahrul Afiza Fauizan, Ahmad Ridzuan Zainal, Mohd Haidar Anuawar, Mohd Hariff Salleh, Mohd Sharul Mat Amin, Mohd Adiq Husainie Othman, Yusrizal Usoff dan Mohd Faiz Syarifuddin K. Kadir selain Annuar Manan.

"Kita ambil peluang hari raya ini untuk berbincang dengan pelumba anak Terengganu yang berminat menyertai pasukan ini," katanya Khamis lalu.

Pengumuman rasmi skuad akan dilakukan dalam masa terdekat selepas urusan dengan Kesatuan Basikal Antarabangsa (UCI) diselesaikan selepas hari raya Aidilfitri.

Beliau berkata penubuhan pasukan tersebut sebagai persediaan untuk menghadapi kejohanan dalam dan luar negara pada tahun depan.

Ahmad Sidi berkata PLBT telah memilih pelumba-pelumba yang cemerlang dan menunjukkan prestasi yang baik dalam acara lebuh raya.

Beliau berkata kemungkinan besar PLBT tidak menggunakan khidmat semua pelumba, dan ini membolehkan mereka mewakili negara bersama pelumba-pelumba negeri yang lain.

Ahmad Sidi berkata Mohd Hariff Salleh, masih lagi bernaung di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) dan tidak berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti dilaporkan sebuah akhbar Rabu lalu.

Raja Pecut Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010, Anuar Manan turut berharap pembentukan pasukan benua Terengganu akan menjadi penanda aras baru bagi sukan berbasikal lebuh raya negara.

Dia yang berangkat ke Jepun, kelmarin akan menyertai Jelajah Hokkaido selepas pulang seketika beraya di tanah air, sempat mengadakan perbincangan dengan Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) bagi mendapat gambaran sebenar mengenai hala tuju pasukan terbabit.

"Saya berpuas hati dengan apa perancangan dan matlamat yang ditetapkan PLBT,” kata Anuar.
"Jika berjalan lancar, saya pasti pasukan benua Terengganu akan menjadi salah sebuah pasukan lebuh raya dihormati di rantau ini.

“Memang saya berminat mewakili pasukan negeri kelahiran saya, bukan semata-mata kerana semangat kenegerian, tetapi sistem pengurusan membabitkan gaji pelumba serta perlumbaan yang bakal disertai menepati keperluan pelumba-pelumba tempatan.”

PLBT yang mendapat sokongan dana permulaan RM1.5 juta setahun daripada kerajaan negeri, mensasarkan untuk menarik beberapa pelumba kelahiran Terengganu yang sudah melakar nama dalam arena berbasikal negara termasuk Anuar.

Selain Anuar yang kontraknya bersama pasukan Geumsan Ginseng Asia akan berakhir Disember ini, beberapa pelumba kebangsaan lain antaranya Amir Mustafa Rusli, Adiq Husainie Othman, Ahmad Fallanie Ali, Shahrul Mat Amin, Mohd Zamri Salleh dan Mohd Harrif Salleh juga berasal dari Terengganu.

Apapun, penubuhan pasukan Benua Terengganu bukan kerana mahu bersaing dengan persatuan luma basikal lain, termasuk peringkat kebangsaan tetapi bagi memberi peluang pelumba tempatan menempah nama di peringkat antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat turut tidak menolak untuk mendapatkan khidmat pelumba luar bagi memantapkan kayuhan barisan pelumba yang akan membuat penampilan sulung di Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun depan.

Penubuhan pasukan yang menelan belanja RM1.5 juta itu dinaungi sepenuhnya Kerajaan Negeri Terengganu. Bagaimanapun, beliau yakin Terengganu mempunyai ramai pelumba yang berkemampuan.

Katanya, dia tidak bimbang jika gagal mendapatkan khidmat pelumba tempatan seperti Anuar Manan, Adiq Husinie Othman atau Hariff Salleh kerana Terengganu memiliki ramai pelumba yang boleh diketengahkan.

“Kami mempunyai ramai pelumba pelapis berbakat. Ketika di Sukma (Sukan Malaysia) Melaka, hampir 30 pelumba kelahiran Terengganu terpaksa beraksi dengan negeri lain kerana kuota Terengganu penuh.

“Apapun pemilihan pelumba dilakukan berdasarkan kemampuan pelumba yang dinilai daripada pelbagai aspek terutama kemampuan, berkebolehan serta minat,” katanya.

Lagi pun Rozi menegaskan, pelumba yang membarisi skuad tidak dijanjikan insentif namun mereka akan didedahkan ke peringkat antarabangsa terutamanya perlumbaan di luar negara.

“Banyak urusan perlu diselesaikan dan ketika ini segala urusan akan dibawa berbincang dengan Persatuan Basikal Terengganu dan Majlis Sukan Negara (MSN) kerana kami masih baru dalam perkara ini,” katanya yang mungkin mendapatkan khidmat jurulatih luar negara.

Katanya, barisan pelumba pasukan itu mungkin dikumpul di bawah satu payung dalam tempoh terdekat iaitu selepas hari raya dengan harapan mereka mampu memberi impak di LTdL nanti.

No comments:

Post a Comment