Thursday, September 16, 2010

Terengganu Cadang Beli Mesin Ujian Air Kencing

Kerajaan negeri Terengganu bercadang membeli sebuah mesin menguji air kencing penagih dadah tidak lama lagi untuk ditempatkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Dr Abdul Rahman Mokhtar berkata mesin yang dikenali sebagai 'Gas Chromotography Mass Spectrometer' bersama peralatannya dianggar bernilai lebih RM1.7 juta.

"Dengan adanya mesin itu nanti ia mempermudah dan mempercepatkan urusan memproses air kencing penagih dan tidak lagi perlu dihantar ke Kuala Lumpur seperti sebelum ini.

"Kita sekarang dalam proses perbincangan dengan Jabatan Kesihatan untuk membeli mesin tersebut," katanya selepas program prihatin Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan majlis berbuka puasa bersama orang kena pengawasan (OKP) di Kuala Terengganu, kelmarin.

Abdul Rahman berkata masalah penagihan dadah, terutamanya di kalangan orang Melayu Islam begitu tinggi di Terengganu dan kerajaan memandang serius perkara itu.

Mengikut statistik terdapat 2,598 penagih termasuk 12 wanita diletakkan di bawah pengawasan AADK Terengganu, tahun ini.

Katanya daerah Besut merupakan daerah paling serius menghadapi masalah tersebut iaitu seramai 810 orang, diikuti Kemaman (690), Kuala Terengganu (578), Dungun (478), Hulu Terengganu (275), Marang (267) dan Setiu (133) orang.

Abdul Rahman berkata mereka yang terlibat kebanyakannya bekerja sebagai buruh dengan berumur antara 20 hingga 35 tahun dan pil kuda merupakan dadah yang paling popular di kalangan mereka.

Beliau berkata AADK telah membuka dua buah pusat pemulihan dan prihatin setakat ini iaitu di Kuala Terengganu dan di Hulu Terengganu, dan yang terbaru bakal diwujudkan di daerah Besut.

Katanya pusat itu mengamalkan konsep terbuka kepada penagih, bekas penagih dan keluarga yang memerlukan bimbingan atau menghadapi masalah tersebut dalam keluarga mereka.

No comments:

Post a Comment