Friday, September 3, 2010

Program Amal Yayasan DiRaja Sultan Mizan

Tuanku Mizan Zainal Abidin mengurniakan bantuan kepada fakir miskin sempena Hari Raya Aidilfitri 1431 Hijrah di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, 21 Ogos. – Gambar Zulkifli Putra.

Tiada apa yang lebih mulia daripada membantu mereka yang memerlukan menjalankan ibadah puasa dengan sempurna selain merayakan Aidilfitri dengan penuh kegembiraan.

Berasaskan falsafah inilah Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) mengadakan “Majlis Pergurniaan Bantuan Kepada Fakir Miskin dan Kanak-kanak Sekolah Sempena Hari Raya Aidilfitri” 1431 Hijrah pada pagi Sabtu 21 Ogos lalu.

YDSM yang sudah memulakan program itu sejak 2006 adalah sebahagian program amal yayasan yang turut meraikan warga emas yang miskin dan murid-murid sekolah seluruh Terengganu.

Ia bertujuan memenuhi matlamat penubuhan Yayasan iaitu kearah meningkatkan sosio-ekonomi penduduk Negeri Terengganu Darul Iman.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, selaku Pengerusi Yayasan berkenan berangkat ke majlis ini dan seterusnya berkenan mengurniakan bantuan tersebut.

Mengiringi Tuanku Mizan ialah Paduka Baginda Seri Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Tuanku Mizan yang juga Pengerusi YDSM menyampaikan bantuan kepada pelajar berkenaan dan penerima lelaki manakala Tuanku Nur Zahirah menyampaikan bantuan kepada penerima wanita.

Turut hadir pada majlis di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Tahun ini, seramai 120 warga emas dari semua daerah seluruh Terengganu dengan Daerah Kuala Terengganu dibahagi kepada dua kumpulan, dipilih menerima kurniaan tersebut.

Pemilihan warga emas dibuat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu (JKM).

Bagi memastikan bahawa mereka yang dipilih tidak menerima bantuan sama oleh agensi lain, pihak JKM terlebih dahulu telah mendapat kerjasama daripada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang menyemak nama-nama warga emas tersebut.

Murid-Murid SK Duyong gembira menunjukkan duit raya yang dikurniakan oleh Yang Dipertuan Agong. – Gambar Zulkifli Putra.

Bagi murid-murid sekolah pula, seramai 210 kanak-kanak dari tujuh buah sekolah dipilih.

Murid-murid yang dipilih adalah dari keluarga miskin. Proses pemilihan adalah dibuat oleh pihak sekolah yang berkaitan.

Antara bantuan yang dikurniakan kepada warga emas ialah bagi lelaki wang tunai RM200.00, baju melayu, songkok dan kain pelikat manakala bagi wanita pula wang tunai RM200.00 , kain batik terap, sandal dan tudung.

Selain itu, mereka juga dikurniakan hamper yang mengandungi barangan asas seperti beras, minyak, gula dan sebagainya. Kanak-kanak sekolah pula akan menerima wang tunai sebanyak RM150.00 setiap seorang.

Yayasan mengeluarkan belanja sebanyak RM80,000.00 untuk Majlis Kurniaan tahun ini.

Yayasan melaksanakan majlis ini dengan kerjasama dan sumbangan pelbagai pihak termasuk MAIDAM. Kurniaan barangan pula adalah hasil sumbangan syarikat-syarikat korporat termasuk K.K Group of Companies.

Yayasan juga bekerjasama dengan jabatan-jabatan Kerajaan dan pelbagai agensi seperti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu, Pejabat Pesuruhjaya Agama Negeri Terengganu, Jabatan Kerja Raya, Pejabat KDYMM Sultan, Jabatan Penerangan, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Polis DiRaja Malaysia, Sahibus Samahah Al-Mufti dan Taman Tamadun Islam (TTI) bagi menjayakan program ini.

Bagi bantuan Fakir Miskin - seramai 15 penerima daripada setiap daerah - Kuala Terengganu Utara, Kuala Terengganu Selatan, Kemaman, Besut, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Setiu.

Sementara bagi penerima Bantuan Pelajar Miskin Sekolah Menengah – seramai 30 pelajar setiap sekolah – masing-masing adalah dari Sek Men Keb Panji Alam dan Sek Men Keb Bukit Tungal.

Bagi penerima bantuan Pelajar Miskin Sekolah Rendah – 30 pelajar setiap sekolah – mereka adalah dari Sek Keb Pengadang Baru, Sek Keb Duyong, Sek Keb Teluk Ketapang, Sek Agama Rendah Felda Chalok Barat dan Sek Agama Rendah Bukit Bading.

No comments:

Post a Comment