Sunday, September 19, 2010

Terengganu Anjur Pertandingan Perahu Panjang Antarabangsa

Gambar hiasan - Pertandingan perahu panjang yang pernah diadakan di Kuching, Sarawak

Terengganu akan menganjurkan pertandingan perahu panjang pada Mac tahun depan yang dijangka disertai sekurang-kurangnya 10 pasukan dari dalam dan luar negara termasuk Indonesia dan Thailand.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Rahin Mohd Said berkata pertandingan yang bertujuan mempromosi Terengganu itu telah dirancang setahun lepas, namun terpaksa ditangguh kerana sebab yang tidak dapat dielakkan.

"Pasukan daripada Indonesia yang dijangka menyertai pertandingan itu termasuk Persatuan Perahu Panjang Sambas, Padang dan Pekan Baru yang bernaung di bawah Persatuan Perahu Naga Antarabangsa (IDBF)," katanya di Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau berkata pertandingan itu yang dijangka menawarkan hadiah lumayan akan diadakan di Sungai Terengganu bagi mempromosikan beberapa destinasi menarik di situ.

"Kita pilih Sungai Terengganu sebagai lokasi pertandingan bagi mempromosikan Pulau Warisan dan Double Frontage Road, Kampung Cina yang baru siap dibina, berharga RM75juta," katanya.

Rahin berkata sebelum itu, satu pertandingan terbuka perahu panjang akan diadakan pada 30 Okt ini untuk Terengganu memilih sebuah pasukan bagi mewakili negeri ke pertandingan tersebut.

Beliau berkata pertandingan terbuka untuk kolej, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, badan koporat, badan kerajaan dan warga Terengganu itu akan disertai oleh 15 pasukan yang terdiri daripada 20 pendayung bagi setiap pasukan.

Katanya pada hari yang sama juga akan diadakan pertandingan tertutup perahu pendek Terengganu yang disertai 10 pendayung setiap pasukan.

Rahin berkata kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM50,000 untuk hadiah kepada pemenang bagi kedua-dua kategori tersebut.

No comments:

Post a Comment