Dr. Juanita Joseph memberi penerangan tentang penyu yang diawet pada Pameran Kesedaran Penyu anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Penyu adalah anugerah alam bagi Terengganu namun ia semakin menghilang daripada ingatan dan pandangan.
Tidak ramai yang ambil peduli, apatah lagi untuk menyedari makna kehilangan haiwan yang sebenarnya banyak berjasa bagi negeri pesisir pantai ini.
Jika beberapa dekad lalu, beribu-ribu ekor penyu mendarat di pantai negeri ini khususnya Rantau Abang saban musim untuk bertelur, namun jumlahnya kini mungkin boleh dibilang dengan jari.
Bimbangkan ia mungkin lenyap dengan jumlah pendaratan semakin mengecil, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sejak dari 1984 lagi berusaha membuat kajian mengenai punca-puncanya.
Ia bagi membolehkan langkah-langkah pemuliharaan digerakkan bersama oleh pelbagai pihak dan pada masa yang sama mewujudkan kesedaran masyarakat agar turut serta di samping menghargai haiwan itu.
Baru-baru ini, selama lebih seminggu Unit Penyelidikan Penyu Laut (SEATRU) Institut Oseanografi (INOS) telah menganjurkan 'Program Kesedaran Penyu' di kampus berkenaan.
Ia bagi membolehkan langkah-langkah pemuliharaan digerakkan bersama oleh pelbagai pihak dan pada masa yang sama mewujudkan kesedaran masyarakat agar turut serta di samping menghargai haiwan itu.
Baru-baru ini, selama lebih seminggu Unit Penyelidikan Penyu Laut (SEATRU) Institut Oseanografi (INOS) telah menganjurkan 'Program Kesedaran Penyu' di kampus berkenaan.
Program itu adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terutamanya mahasiswa UMT sendiri tentang perlunya memelihara kepupusan penyu ini daripada terus berlarutan.
Ia digerakkan dengan pendekatan bagi menarik minat pengunjung untuk mengetahui dengan lebih lanjut segala informasi mengenai penyu.
Pada program kali ini juga, sukarelawan SEATRU memberi penerangan terperinci tentang kaedah pemuliharaan spesies penyu kepada pengunjung.
Penyelidik dan Pensyarah Jabatan Sains Marin, Fakulti Pengajian Maritim dan Sains Marin (FMSM), Dr. Juanita Joseph berkata, program sebegitu sering diadakan di seluruh Malaysia oleh UMT.
''Ia untuk memberi kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya kita bersama-sama menjaga spesies terancam ini.
" Pada masa ini, kebanyakan penyu yang mati tidak hanya kerana telur mereka diambil oleh peraih-peraih yang menjual kepada orang ramai tetapi penyu ini juga menjadi makanan kepada pemangsa seperti biawak dan ikan yu.
''Tidak hanya diburu oleh pemangsa, sesetengah daripada penyu ini mati akibat aktiviti manusia sendiri contohnya apabila mereka terlanggar kipas bot yang berlegar-legar di kawasan tumpuan ikan yang juga merupakan tempat habitat penyu tersebut" kata beliau.
Katanya, program kesedaran sebegitu merupakan satu usaha yang amat penting bagi UMT menyedarkan masyarakat tentang bagaimana perlunya kita berhati-hati dalam memastikan spesies penyu yang ada sekarang tidak pupus begitu sahaja.
Program ini telah menarik perhatian pelajar kursus Biodiversiti dan Pemuliharaan Marin daripada fakulti FMSM dalam menyediakan poster yang digunakan untuk pameran serta menganjurkan pelbagai aktiviti untuk pelajar sekolah rendah.
"Untuk menarik minat pengunjung tentang pemuliharaan penyu ini, kita memilih untuk bekerjasama dengan beberapa sekolah di sekitar Kuala Terengganu ini untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang dijalankan pada program ini.
''Ini kerana saya percaya didikan dari kecil lagi merupakan tunggak penting bagi memastikan sifat cintakan penyu ini dapat ditanam dari usia muda lagi" ujar beliau.
"Program ini berjaya menarik pengunjung bukan hanya melawat pameran yang disediakan tetapi mereka juga boleh bersama-sama mendengar ceramah mengenai kesedaran penyu yang telah dilakukan oleh UMT khususnya dan negara Malaysia amnya," tambahnya.
Melalui program itu juga, orang ramai diajak menjadi sukarelawan dan mereka juga boleh mendaftar dengan SEATRU dan berpeluang ke Chagar Hutang, Pulau Redang selama satu minggu untuk membantu kerja-kerja pemuliharaan pusat santuari penyu .
''Usaha sebegini sepatutnya tidak terhenti dengan memberi kesedaran sahaja, kita sendiri sepatutnya mempunyai naluri untuk menyelamatkan penyu ini daripada terus pupus di muka bumi ini," ujarnya.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment