Sebatang jalan bagi laluan buggy sepanjang 1.5 kilometer sedang dibina di pantai Pasir Panjang di Pulau Redang melibatkan peruntukan RM4.5 juta.
Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Datuk Mat Razali Kassim berkata, tujuan laluan buggy itu dibina bagi kemudahan membawa barang-barang pelancong yang bercuti ke resort-resort dan rumah tumpangan di pulau berkenaan.
"Kerja-kerja pembinaan laluan buggy itu kini sudah mencapai 90 peratus dan dijangka siap sepenuhnya tidak lama lagi.
"Bagaimanapun oleh kerana semua resort dan rumah tumpangan akan ditutup pada musim tengkujuh, maka ia dijangka dapat digunakan pada Februari tahun depan," katanya di Kuala Terengganu, semalam.
Mat Razali berkata, laluan buggy itu bermula dari jeti di hujung pulau berkenaan, melalui resort-resort di sepanjang pantai pulau itu.
Pulau Redang, yang merupakan antara 10 pulau tercantik dunia, menjadi tumpuan pelancong bermula Mac hingga Oktober setiap tahun.
No comments:
Post a Comment