Wednesday, October 13, 2010

248 Pelajar Terima Anugerah ExxonMobil

Hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan lebih ramai golongan profesional terdiri daripada anak tempatan tidak akan menjadi kenyataan jika ibu bapa menyerahkan tanggungjawab mendidik anak mereka seratus peratus kepada warga pendidik.

Walaupun Terengganu, antara negeri yang membuat pelaburan tertinggi dalam bidang pendidikan, tetapi ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan memberi dorongan kepada anak mereka agar memanfaatkan setiap ruang dan kemudahan disediakan untuk cemerlang.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat, berkata kesungguhan kerajaan negeri untuk melahirkan lebih ramai golongan profesional terbukti apabila meluluskan peruntukan sebanyak RM245 juta tahun ini.

"Selain peruntukan kerajaan negeri, rakyat di negeri ini bertuah kerana syarikat swasta turut aktif menyediakan pelbagai bantuan sebagai insentif kepada pelajar yang tidak berkemampuan, " katanya ditemui selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang ExxonMobil 2010, di sini, kelmarin.

Hadir sama pada majlis itu Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran negeri, Zubir Embong dan Pengarah Sumber Manusia, Kumpulan Subsidiari ExxonMobil, Lokman Baharuddin.

Pada majlis itu, seramai 248 pelajar menerima bantuan kewangan antara RM600 dan RM1,000 membabitkan perbelanjaan disediakan ExxonMobil sebanyak RM148,800.

Khazan berkata, kerajaan pusat mempunyai alasan tertentu mengurangkan bajet pendidikan, tetapi pengurangan RM1 bilion itu tidak menjejaskan semangat guru untuk terus berkhidmat demi masa depan anak bangsa sendiri.

Katanya, walaupun berlaku pengurangan bajet daripada RM31 bilion tahun lalu kepada RM30 bilion tahun ini, tetapi kerajaan negeri akan berusaha untuk memastikan peruntukan dalam bidang pendidikan dikekalkan.

Dalam perkembangan lain, Zuber berkata, Jabatan Pelajaran negeri adalah pengurus pendidikan dan pendidik adalah antara pencetus kepada sumber ilmu bagi memastikan anak didik mendapat pengetahuan yang terus relaven bersesuaian dengan perubahan zaman.

"Kita perlu menghayati matlamat pendidikan sendiri kerana ia mampu memberi kesan kepada pembentukan konsep kerja, hidup dan amali dalam menjalani aktiviti sebagai pendidik," katanya.

No comments:

Post a Comment