Cubaan pemimpin ajaran sesat kerajaan langit, Arifin Mohamad, 70, atau Ayah Pin, menghidupkan semula ajarannya digagalkan penduduk serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Batu 13, Hulu Besut, yang masuk ke perkampungan itu melakukan rondaan, terutama pada Sabtu dan Ahad.
Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Hulu Besut, Nawi Mohamad (gambar kiri) mengakui Ayah Pin yang melarikan diri bersembunyi di negara jiran sejak perkampungannya dirobohkan kerajaan negeri dan ajarannya diharamkan pada 2005, pulang ke perkampungan itu menziarahi empat isterinya baru-baru ini.
Bagaimanapun, katanya, selepas hampir sebulan bersama isteri dan pengikutnya yang masih menetap di situ, Ayah Pin melarikan diri apabila kepulangannya disedari penduduk dan ahli JKKK kampung.
“Ayah Pin cuba menghidupkan semula ajaran sesatnya seperti dilaporkan Berita Harian minggu lalu dan perkampungan itu dikunjungi pengikutnya dari Johor, Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Pahang dan Kelantan dengan menaiki kereta mewah.
“Pada perjumpaan dengan penyokongnya itu, Ayah Pin mendakwa dia tidak melarikan diri sebaliknya naik ke langit hingga ke aras tujuh untuk meninjau syurga dan neraka serta menghadiri mesyuarat dengan malaikat, jin serta iblis.
“Ayah Pin hanya sempat mengadakan tiga atau empat perjumpaan dengan penyokong yang terlalu taksub dengan ajaran sesatnya,” katanya, semalam.
Nawi berkata, beliau terpaksa mengarahkan penduduk kampung dan JKKK membuat rondaan ke perkampungan yang masih didiami pengikut serta empat isterinya bagi mengelak Ayah Pin meneruskan kegiatannya.
“Kaedah rondaan termasuk pada sebelah malam oleh penduduk serta JKKK berhasil apabila Ayah Pin tidak lagi berjumpa pengikutnya dan melarikan diri selepas kegiatannya didedahkan Berita Harian,” katanya.
Nawi yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, berkata rondaan setiap hari itu tindakan terbaik yang menyebabkan Ayah Pin serta pengikutnya sentiasa bimbang.
No comments:
Post a Comment