Thursday, October 7, 2010

Azizul Hasni Terlepas Emas di Sukan Komanwel

JOSIAH NG (kanan) meraikan kejayaan memenangi pingat emas keirin pada ketika Azizulhasni Awang meratap sedih selepas kejuaraannya dirampas di New Delhi, semalam.

Josiah Ng menghadiahkan pingat emas basikal pertama buat Malaysia dalam sejarah Sukan Komanwel apabila menjuarai acara keirin semalam, namun meninggalkan rakan senegara, Azizulhasni Awang dengan penuh kekecewaan selepas kemenangan yang sepatutnya menjadi miliknya dibatalkan.

Kemenangan Azizulhasni dibatalkan selepas pegawai perlumbaan mendapati pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu bersalah kerana menolak pelumba New Zealand, Simon Van Vel Thooven ketika adegan pecut memecut berlangsung.

Akibatnya, pingat emas diserahkan kepada pelumba yang menduduki tangga kedua, seorang lagi pelumba negara, Josiah. Keputusan tersebut menyebabkan kontinjen negara kehilangan satu pingat perak, yang pada awalnya milik Josiah.

Pelumba England, David Daniell meraih perak dan pingat gangsa milik pelumba New Zealand, Simon Van Velthooven.

Ditanya mengenai pembatalan kemenangan Azizulhasni, Josiah berkata, dia tidak tahu apa yang berlaku ke atas pelumba senegara itu, namun katanya, walau apa pun keputusan, ia adalah muktamad dan adat perlumbaan.

"Cuma saya tidak nampak dia melakukan apa-apa kesalahan. Azizul berhak menang. Ketika saingan, dia membuat satu keputusan berani apabila mencelah untuk memintas lawannya demi memenangi perlumbaan.

"Namun agak malang, tindakan berani yang dilakukannya itu tanpa disangka mengundang padah. Tindakannya dikatakan menghalang pelumba lain," katanya.

Tambah Josiah, nasib masih menyebelahi kontinjen negara kerana dia menamatkan perlumbaan ini ditempat kedua, sekali gus memastikan pingat emas tidak terlepas.

Katanya, dia faham kekecewaan yang dialami Azizulhasni, kerana dia juga pernah mengalami situasi yang sama ketika menyertai Kejohanan Dunia sebelum ini.

Mengulas pingat emas yang diraihnya semalam, Josiah berkata, kemenangan seumpama itu sudah lama dia nantikan.

Katanya, sebelum ini ramai yang mempertikaikan kemampuannya.

''Ada yang berkata saya tidak layak lagi berada dalam basikal trek negara.

"Namun, hari ini saya membuktikan saya sememangnya layak (berada dalam pasukan negara," katanya.

Selain Josiah dan Azizulhasni, cabaran negara dalam acara keirin turut digalas Rizal Tisin.

Namun, Rizal, yang memenangi pingat perak dalam acara 1 kilometer ujian masa kelmarin, terkandas pada pusingan pertama repecharge dan menamatkan saingan di tempat ke-11.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment