Monday, October 25, 2010

Batik Dan Songket Terengganu Berpotensi Tembusi Pasaran Global

Batik dan songket Terengganu mempunyai potensi besar untuk menembusi pasaran antarabangsa apabila beberapa syarikat tekstil dari luar negara menunjukkan minat untuk memasarkan produk itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Mohamed Awang Tera (gambar) berkata syarikat tekstil dari Sepanyol, Itali dan England begitu berminat dengan batik dan songket Terengganu.

"Sebelum ini kita telah mengadakan promosi batik dan songket di Milan, Barcelona, London dan Paris di mana sambutannya amat menggalakkan," katanya kelmarin.

Mohamed berkata kerajaan negeri yakin batik dan songket boleh diterima di negara barat dan sesuai dijadikan pakaian, perhiasan rumah dan cenderahati.

Katanya pengusaha dan pereka pakaian daripada negara-negara berkenaan begitu berminat untuk datang ke Terengganu melihat dengan lebih dekat cara batik dan songket dihasilkan.

Mohamed berkata tahun depan kerajaan negeri bercadang mengadakan satu lagi lawatan ke Sepanyol dan kali ini ke Madrid untuk mempromosikan batik dan songket.

Katanya apa yang perlu sekarang ini ialah pengusaha songket dan pengeluar batik di Terengganu perlu meningkatkan mutu pengeluaran mereka supaya songket dan batik diterima di peringkat global.

"Harapan kita apa yang kita buat ini memberi hasil pulangan yang lumayan kepada pengusaha dan sekaligus memartabatkan batik dan songket Terengganu," katanya.

No comments:

Post a Comment