Thursday, October 28, 2010

Depoh Simpanan Keperluan Bencana di Marang

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengenal pasti 5,124 pusat pemindahan di seluruh negara yang boleh memuatkan 1,342,277 orang bagi menghadapi kemungkinan berlaku banjir pada tahun ini.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata, pihaknya dimaklumkan ia merupakan penambahan sebanyak 380 pusat pemindahan dan 71,924 mangsa bencana berbanding yang telah dikenal pasti tahun lepas.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat juga, melalui Rancangan Malaysia Kesembilan, telah membangunkan lima buah Depot Simpanan Keperluan Bencana iaitu di Bedong, Kedah; Muar, Johor; Kemumin, Kelantan; Marang, Terengganu dan Sungai Buloh, Selangor bagi menempatkan barang-barang bantuan bencana," katanya di Kuala Lumpur.

Beliau berkata sebanyak 17 helikopter di bawah pengurusan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tujuh unit lagi di bawah pengurusan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, telah diletakkan dalam keadaan bersiap siaga untuk digerakkan dalam menghadapi kemungkinan banjir.

"Selain daripada itu juga, beberapa agensi lain turut mempunyai pesawat helikopter seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)," katanya.

Mohamed Thajudeen berkata jumlah aset seperti bot adalah mencukupi dengan anggaran keseluruhan sebanyak 1,000 unit di seluruh negara dan ia boleh didapati daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, PDRM, ATM, APMM dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

"MKN dengan kerjasama kerajaan negeri sentiasa mengemas kini keperluan aset dalam pengurusan bencana. Sekiranya terdapat keperluan untuk menambah aset sedia ada, perolehan baru boleh dibuat secara berpusat.

"Selain daripada itu, kerajaan juga mempunyai pelan sokongan, antaranya menyewa bot dari pengusaha bot dan orang perseorangan. Selain bot, lori-lori besar milik agensi kerajaan turut diletakkan di dalam keadaan bersedia jika diperlukan, bagi melaksanakan kerja-kerja pemindahan mangsa ke pusat pemindahan," katanya.

Beliau berkata mesyuarat jawatankuasa pengurusan bantuan bencana pusat telah diadakan pada 13 Okt lalu, yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Katanya, ia merupakan platform utama bagi membincangkan persiapan pelbagai agensi, khususnya JKM, dalam menghadapi bencana musim tengkujuh tahun ini, dan memantau ramalan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia serta persediaan menghadapi kemungkinan banjir.

Mohamed Thajudeen berkata sekiranya sesebuah kawasan terputus hubungan akibat banjir, kerajaan akan cuba menyalurkan bantuan ke pusat pemindahan yang diwujudkan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata kemudahan di pusat pemindahan termasuk makanan dan keperluan peribadi seperti baju, selimut, tikar dan kain sarung.

"Bantuan-bantuan ini akan dihantar melalui pesawat udara seperti helikopter, sekiranya tidak dapat dihubungi dengan kenderaan darat. Pada tahun ini, bantuan bencana banjir di Kota Marudu telah dihantar melalui helikopter kerana kawasan tersebut terputus hubungan melalui darat," katanya.

Mana-mana individu yang memerlukan rawatan kecemasan juga akan dihantar ke hospital berdekatan melalui pesawat udara seperti helikopter, sekiranya diperlukan, dan masyarakat juga mempunyai kemudahan menghubungi agensi penyelamat melalui talian kecemasan "999" atau talian terus agensi berkenaan di daerah berkaitan.

Katanya, selain itu, Kementerian Kesihatan, melalui hospital dan klinik kesihatan, akan membentuk pasukan kesihatan serta perubatan bagi menghadapi kemungkinan banjir dan mereka ditugaskan untuk menganalisis bekalan air dan makanan di pusat pemindahan serta memantau haiwan yang berisiko membawa penyakit.

"Masyarakat diminta bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dalam menjaga kebersihan persekitaran, makanan dan air di pusat-pusat pemindahan serta kawasan sekitar yang dilanda bencana," katanya.

No comments:

Post a Comment