Thursday, October 28, 2010

'Flying Sikh' Sasar Kedudukan Podium Di Tasik Kenyir

Pelumba rali terkemuka negara, Karamjit Singh mensasarkan pencapaian terbaik pada pusingan ketiga hujung minggu ini bagi membolehkan beliau memburu gelaran pada Kejohanan Rali Malaysia (MRC) 2010.

Pada pusingan MRC di Tasik Kenyir, Terengganu, Karamjit dan jurupandu arah Douglas Pickering, tahu bahawa kegagalan menaiki podium tidak akan membantu buruan mereka pada pusingan penentuan di Kangar, Perlis, Disember ini.

Karamjit, memandu kereta Mitsubishi Lancer, kini menduduki tempat kedua keseluruhan dengan 16 mata di belakang pendahulu Muhammad Rafiq Udhaya dan jurupandu arah Sean Gregory yang mengumpul 24 mata.

Tempat ketiga disandang oleh pemandu kereta Subaru Impreza, Andrew Miller dan Manohar Menon dengan 13 mata.

"Hanya ketinggalan lapan mata tetapi perlu mendapat pencapaian terbaik minggu ini. Ia akan membantu merapatkan saingan dan meletakkan saya dalam keadaan selesa sebelum pusingan akhir," kata Karamjit.

"Sejak menceburi karier dalam sukan rali, saya berpegang kepada falsafah bahawa saya cuba berusaha untuk menang dalam setiap perlumbaan dan Tasik Kenyir tidak terkecuali," kata pelumba berusia 48 tahun, yang dikenali sebagai 'The Flying Sikh'.

Pada Julai lepas, Karamjit dan Pickering muncul juara pusingan kedua di Jempol, Negeri Sembilan, dan kejayaan itu telah mencerahkan peluang untuk memburu kejuaraan keseluruhan rali musim ini.

"Saya berdoa kereta saya ini tidak akan mengalami sebarang masalah mekanikal sebelum dan semasa perlumbaan itu," kata Karamjit.

Bagaimanapun, Muhammad Rafiq tidak mahu menyerahkan kedudukan pendahulunya dengan begitu mudah sekali.

"Saya masih pendahulu dan pencabar saya perlu menyingkirkan saya dari kedudukan teratas. Kita semua akan berlumba buat kali pertama di Tasik Kenyir dan tidak mengetahui keadaan dan laluan di situ.

"Persoalannya siapa boleh dengan cepat menyesuaikan diri dengan keadaan di situ kerana hujan dijangka di kawasan itu," kata Muhammad Rafiq.

Bekas pelumba rali dunia, Katsu Taguchi dari Jepun dan jurupandu arahnya Jagdev Singh, yang menjuarai pusingan pembukaan MRC di Johor Baharu, April lalu, kini menduduki tempat keempat dengan 11 mata.

No comments:

Post a Comment