PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (empat dari kiri) bersama pemimpin UMNO Terengganu melaungkan kata-kata semangat selepas merasmikan Konvensyen UMNO Terengganu 2010, semalam. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said (tiga dari kiri)dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek (dua dari kiri).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berjanji memberi komitmen padu untuk bersama-sama barisan kepimpinan UMNO negeri bagi memastikan parti itu terus berkuasa di negeri ini.
Selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, beliau juga bersedia untuk terus memikul amanah serta tanggungjawabnya itu sebaik mungkin dalam meneruskan agenda perjuangan UMNO tulen bagi membela nasib dan masa depan bangsa dan agama.
Pada masa yang sama, Hishammuddin turut menyeru seluruh kepimpinan UMNO sehingga peringkat akar umbi agar bangkit semula untuk merapat dan mengukuhkan barisan demi satu perjuangan parti.
"Inilah harapan dan realiti saya kerana UMNO dilahirkan untuk perjuangan Melayu. Hari ini saya merayu, berpecahnya UMNO maka berkecailah Melayu, mati UMNO maka berkuburlah Melayu. Berjanjilah, kita akan berjuang bagi menyahut seruan bangsa dan agama," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Terengganu 2010 di Primula Beach Resort di Kuala Terengganu, semalam.
Konvensyen yang julung kali diadakan itu menghimpunkan seramai 1,200 pemimpin dan ahli UMNO Terengganu.
Hishammuddin dalam ucapannya menyifatkan konvensyen kali ini sebagai titik tolak kepada seluruh pemimpin dan ahli UMNO negeri untuk kembali bertaut selain mengembalikan kepercayaan pucuk pimpinan parti terhadap UMNO negeri ini.
Malah katanya, konvensyen itu juga akan menjadi wadah penting bagi menentukan hala tuju selain membawa agenda perjuangan UMNO negeri ke Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) minggu depan.
Beliau juga yakin, dengan konsistensi kepimpinan UMNO termasuk di Terengganu, ia dapat mempertahankan kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.
"Kita akan mempertahankan negeri Terengganu dan juga merampas semula kerusi di negeri-negeri lain yang jatuh ke tangan pembangkang. Segala-galanya bermula dari Konvensyen Terengganu 2010 ini," jelasnya.
Bercakap pada sidang media selepas itu, Hishamuddin berkata Konvensyen Terengganu 2010 itu memberi gambaran jelas bahawa UMNO Terengganu yang sebelum ini menghadapi masalah dalaman, kini semakin pulih.
Katanya, konvensyen yang bertujuan membincangkan hala tuju dan masa depan parti membuktikan kesepakatan di kalangan pemimpin UMNO negeri itu semakin utuh.
"Tidak dinafikan berlaku perselisihan, salah faham dan masalah dalam parti sebelum ini, namun ia tidak kritikal seperti yang digembar-gemburkan.
"Ia berlaku di mana-mana. Setidak-tidaknya kita tidak bertumbuk atau membaling kerusi, macam yang kita lihat dalam mesyuarat cabang PKR (Parti Keadilan Rakyat)," katanya.
Yang hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan semua lapan Ketua Bahagian UMNO negeri beserta kira-kira 1,200 peserta yang terdiri daripada pemimpin sayap-sayap parti dan jemputan khas.
Mengulas mengenai masalah dalaman yang melanda UMNO Terengganu sebelum ini, Hishammuddin berkata keadaan kini sudah banyak berbeza berbanding setahun yang lalu ketika masalah memuncak.
"Dalam UMNO, pendokongnya akan tetap bersatu terutama dalam menentukan hala tuju parti atau dalam perkara yang berkaitan dengan masa depan parti.
"Dalam sejarah UMNO sebelum ini pun pernah kita melalui detik-detik cemas yang lebih kritikal dan selalunya kita keluar dalam ujian dalam keadaan parti lebih kuat dan matang," katanya.
Beliau juga berkata konvensyen khas yang julung kali diadakan itu turut bertujuan memantapkan hala tuju serta meningkatkan prestasi pentadbiran kerajaan negeri yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) dan UMNO khususnya.
"Ia akan dijadikan asas persiapan awal UMNO Terengganu menghadiri Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putera, Kuala Lumpur Khamis ini," katanya.
Hishammuddin yang dilantik mempengerusikan Jawatankuasa Usul pada Perhimpunan Agung UMNO nanti berkata sebanyak tiga usul akan dibawa dan dibahaskan iaitu yang melibatkan usul ucapan dasar presiden, usul ekonomi serta usul agama dan pendidikan.
"Usul-usul ini antara lain menentukan hala tuju, harapan pucuk pimpinan dan harapan orang ramai terhadap Umno sendiri dan disesuaikan mengikut keadaan semasa dan selari dengan transformasi yang dibawa Presiden," katanya
No comments:
Post a Comment