Sunday, October 17, 2010

Perodua Alza milik Halim, Arif

Halim (kanan) dan Wan Mohd Arif bergambar dengan kereta Alza yang dimenangi.

Air mata kegembiraan mengalir di pipi juara keseluruhan Kategori Laut siri GP Joran 2010, Halim Mustapha, sebaik saja namanya diumumkan pemilik mutlak hadiah utama, Perodua Alza bernilai RM70,000 sekali gus mengetepikan enam peserta lain yang bersaing rapat untuk memenanginya.


Masakan tidak, ketika ditemui sejurus balik ke jeti LKIM Kuala Dungun beberapa jam sebelum majlis penutup dan penyampaian hadiah, juruteknik Petronas di Kerteh berusia 44 tahun itu melahirkan kekecewaan kerana gagal memperoleh sebarang tangkapan, walhal pencabar terdekat, Alias Maulot, memperoleh jenahak seberat 7.8 kilogram.


“Rezeki itu ketentuan Allah dan tidak menyangka sama sekali memenangi Perodua Alza ini. Saya juga bernasib baik kerana 33 mata yang diperoleh Alias selepas menduduki tempat kelapan senarai GP Joran boleh cukup untuk memintas saya. Syukur kerana nasib menyebelahi saya,” katanya.

Halim berkata, ini adalah kenderaan yang ketiga dimiliki selepas Toyota Unser dan Proton Iswara sekali gus menyifatkan nilai kereta Perodua Alza itu sangat sentimental - hadiah menjuarai Grand Slam Joran 2010.

“Semua peserta bercita-cita memenangi hadiah utama ini - begitu juga saya. Perodua Alza ini akan tetap digunakan sebagai kereta ketiga keluarga. Saya amat bangga dengan pencapaian ini dan ia adalah paling bernilai di antara hadiah pertandingan memancing yang pernah saya menangi,” katanya.

Juara keseluruhan Kategori Pantai siri GP Joran 2010, Wan Mohd Arif Wan Ahmad, berkata beliau memang menyimpan hasrat untuk menukar Perodua Kancil yang dibeli sejak dua tahun lalu dengan kereta baru.

“Saya tahu hadiah GP Joran amat lumayan termasuk menawarkan kereta Alza tahun ini. Apabila menyertainya tiga tahun lalu, saya memang bercita-cita untuk memenanginya dan tidak menyangka tahun ini paling bertuah, terutama dalam pusingan akhir GP Joran di Pantai Teluk Lipat,” katanya.


Sebelum pertandingan Ahad lalu, beliau meredah anak sungai dan alur di sekitar Kampung Batu Hitam, Kuantan untuk mencari umpan mujarab dalam usaha menjinakkan spesies ikan yang menghuni perairan Pantai Teluk Lipat.

“Alhamdulillah, umpan udang putih yang saya gunakan nyata berjaya memperdayakan pari seberat 6 kilogram sekali gus ikan kedua terberat pertandingan. Malah, saya tidak menyangka sama sekali tangkapan itu juga meletakkan saya sebagai pemenang hadiah utama keseluruhan - Perodua Alza yang menjadi idaman semua peserta,” katanya girang selepas menerima replika kunci kenderaan itu daripada Pengarah Eksekutif Media dan Operasi Editorial Media Prima Bhd, Datuk Ahmad A Talib.

Hadir sama, Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid; Pegawai Daerah Dungun, Mustafa Abdul Rahman; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun, Zainal Abidin Hussein; Pengurus Besar UFL/ Coleman, Ahmad Termizi Mahmud; Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Bernas, Roslan Othman; dan Pengurus Perodua Pantai Timur, Zainuddin Mohamad.

Sementara itu, Alias dan Mohd Rosdi Abdullah yang diumumkan sebagai naib juara Grand Slam Kategori Laut serta Pantai masing-masing membawa pulang sebuah bot getah Fish Hunter tajaan Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd. Pemenang ketiga keseluruhan diraih Abdul Subar Ali (Kategori Laut) dan Roslan Hamzah (Kategori Pantai) masing-masing memperoleh bot getah Sevylor.

Pusingan akhir GP Joran 2010 mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu dan Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu.

Ia ditaja Perodua, TCE Tackles, Bernas, Gardenia, UFL Coleman, Adabi, Nescafe, Maggi, Noraini’s Cookies, Boat Explorer, Superbest Power dan Raudhah Herb.

No comments:

Post a Comment