Kerja- kerja membersih runtuhan bumbung utama Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMZA) di sini dijangka siap dalam tempoh dua bulan lagi, kata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.
"Perkembangan terbaru mengenai kerja pembersihan stadium itu menggalakkan dan ia kini sudah di peringkat akhir," katanya.
Beliau menyatakan perkara itu selepas merasmikan majlis Khatam Al-Quran dan Anugerah Kecemerlangan Pelajar KAFA negeri Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak di sini Sabtu.
Rundingan untuk membuat bumbung baru akan diadakan selepas selesai kerja-kerja pembersihan berkenaan, yang mengikut kontrak berakhir pada Disember ini, kata Ahmad.
Bumbung utama stadium SMZA runtuh pada 2 Jun tahun lepas setelah setahun siap dibina untuk kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) 2008, yang ketika itu Terengganu menjadi tuan rumah.
Kerja-kerja membersih bumbung stadium itu dijalankan oleh Syarikat Azimat Berkat Sdn Bhd bermula 26 Julai lepas dan dijangka siap sebelum hujung tahun ini, tanpa mengenakan sebarang bayaran kepada kerajaan negeri.
No comments:
Post a Comment