Sunday, October 31, 2010

Mencari Kelibat Wan Ahamad...

Dua siri rencana mengenai Datuk Wan Ahamad Wan Muda dalam blog teganukini menarik untuk dicara. Rencana itu mengulas kenapa Wan Ahamad menyepi. Apakah kerana tugasnya semakin berat atau kerana beliau tidak lagi di Tingkat 16.

Juga, mungkinkah beliau sedang menyediakan dokumen tertentu untuk membersihkan dirinya yang 'dikotori' dengan pelbagai tuduhan?

Berikut disiarkan rencana dua siri itu secara gabungan untuk penjenguk blog ini.

Bahagian Pertama

Di mana Haji Wan Ahamad Wan Mudam kini bergelar Dato'?

Kenapa beliau kini tidak lagi dikecam dan dikritik sebagai “MB No2”? Apakah peranan Wan Ahmad tidak lagi penting kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said?

Kelibatnya tidak lagi menjadi penting dan Abdul Mubin Ismail, blogger yang menyokong Din Adam (Datuk) dan Kumpulan 10 (kini katanya tinggal tiga atau empat) ahli sahaja, juga jarang memperkatakan mengenai Wan Ahamad.

Suatu ketika, iaitu pada awal 2009, publisiti terhadap Wan Ahamad mengatasi Ahmad Said di Terengganu kerana perkara-perkara berikut:

1. Beliau dikatakan sebagai orang berpengaruh dan ‘Budak Tingkat 16’ yang mengawal Menteri Besar;

2. Beliau dikatakan mempengaruhi Menteri Besar dalam kerajaan untuk menempat dan melakukan pertukaran lebih 60 orang pegawai pekhidmatan negeri Terengganu (TCS) termasuk beberapa pegawai tinggi berkuatkuasa Januari 2009 - lima hari sebelum penamaan calon dan 16 hari sebelum pengundian Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu.
3.
Beliau juga bertanggungjawab terhadap penyusunan semula TCS Terengganu pada awal 2010 termasuk perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru;

4. Sebagai ‘Budak Tingkat 16’ dan Menteri Besar ‘No 2’ Wan Ahmad begitu berpengaruh dan mencampuri urusan politik Terengganu;

5. Wan Ahmad ‘bertanggungjawab’ menghantar SMS Ugut Bunuh yang menyebabkan pemulauan terhadap persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu oleh wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) pada April 2009;

6. Wan Ahmad bertanggungjawab menentukan kawasan balak yang dinaugerahkan oleh Kerajaan Negeri kepada pihak tertentu;

7. Wan Ahamad tidak pergi melanjutkan pelajaran di England, sebaliknya ‘menyorok’ di Terengganu;

8. Banyak lagi boleh disebut jika merujuk kepada blog Abdul Mubin Ismail dan berita serta rencana dalam Berita Harian dan Sinar Harian pada awal tahun 2009 lalu.

9. Menentukan pemberian projek dan peluang kepada pihak tertentu;

10. Beliau ialah penjaga kroni Ahmad Said; dan

11. Beliau bukan sekadar berpengaruh terhadap Menteri Besar tetapi Exco dan orang politik juga dikatakan ‘takut’ dan ‘tunduk’ kepada beliau.

Malah, sejak akhir-akhir ini, Wan Ahamad sebagai saksi perbicaraan Datuk DrAhmad Ramzi yang dituduh menghantar dan mengugut dalam kes SMS Ugut Bunuh bagaikan tidak penting lagi.

Malah, pada prosiding terbaru – dua hari pada 26 dan 27 Oktober lalu - di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu Wan Ahamad tidak pun kelihatan.

Khabarnya dia di Eropah ketika itu kerana lawatan kerja – malah keluarganya pun tidak nampak dan tidak mengambil kisah lagi mengenai perbicaraan itu.

Persoalannya, apakah Wan Ahmad takut menghadapi masyarakat kerana kecaman yang hebat terhadapnya?

Atau sejak menjadi Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) selepas dinaikkan pangkat daripada Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar, Wan Ahmad terlalu banyak menumpukan kepada kerja pentadbiran?

Yang pasti beliau tetap pegawai kerajaan.

Atau apakah Wan Ahmad ini diam-diam berisi dan mengatur strategi. Kalau strategi - apa benda yang beliau sedang rancangkan?

Atau beliau tertekan dan cuba ‘melupakan’ edpisod mengenai peranannya selama ini?

Bahagian Kedua

Pada bahagian pertama penulis ada menyebut apakah Wan Ahamad yang ‘berdiam diri’ ketika ini kerana mengatur strategi.

Kalau strategi – strategi apa? Menjatuhkan Menteri Besar Terengganu seperti pernah dilakukan 10 Budak Hitam? Tak mungkin…Sebagai orang pernah digelar ‘MB No.2” oleh Abdul Mubin Ismail, Wan Ahamad tidak mungkin derhaka kepada Datuk Seri Ahmad Said.

Atau Wan Ahamad sedang menjalankan kajian atau merenung semula apa yang melanda dirinya?

Sedikit kemungkinan. Ini kerana sejak kembali dari melanjutkan pelajaran dan dilantik sebagai Timbalan Seiausaha Kerajaan Negeri awal tahun ini, Wan Ahamad nampaknya memberikan tumpuan penuh kepada kerja-kerja pengurusan.

Tetapi ada ke masa untuknya melihat ke belakang, termasuk meneliti laporan akhbar-akhbar seperti Berita Harian, Sinar Harian atau Utusan Malaysia yang banyak memperkatakan mengenai dirinya.

Malah, Wan Ahamad tidak berpuashati dengan beberapa laporan dalam Berita Harian dan Sinar Harian yang menurutnya ‘fitnah’ dan sengaja diadakan untuk memburukkan imejnya.

Apa tujuan memburukkan imejnya? Menurut Wan Ahamad kalau buruk imejnya, buruklah imej Menteri Besar.

Sejauh ini siapakah mereka yang beliau banyak memperkatakanya. Kalau tidak silap penulis, ada dua tiga orang lain, selain Mubin yang Wan Ahamad turut ‘kecil hati’.

Salah seorang daripada mereka itu ialah pemberita Berita Harian, Baharom Bakar. Entahlah apa yang ditulis Baharom menyebabkan Wan Ahamad kecil hati.

Ternyata walaupun Wan Ahamad tidak menyatakan mengenai perasaan dan keadaan dirinya yang ‘duka lara’ akibat dituduh penghantar SMS Ugut Bunuh tetapi beliau pernah menyatakannya secara ‘berdokumen’ dan rasmi di mahkamah.

Mungkin juga beliau berdiam diri kerana tertekan dan cuba ‘melupakan’ edpisod mengenai peranannya selama ini?

Biarpun beliau akhir-akhir ini tidak lagi dikecam dan dikritik sebagai “MB No2” namun ada lahi pihak yang sinis dan memandang serong terhadapnya.

Mubin turut mempersoalkan penganugerahan gelaran kepadanya seolah-olah Wan Ahamad tidak selayak Din Adam atau Rosol. Lantaklah apa Mubin nak cakap tetapi ia anugerah daripada Sultan sebagai meniktiraf sumbangannya.

Sejauh ini tidak jelas kelibat Wan Ahamad tetapi dengan perkembangan akhir-akhir ini di Mahkamah Sesyen yang menyerlahkan nama bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh dan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Dr Ahmad Ramzi dikaitkan dengan penghantaran SMS Ugut Bunuh, Wan Ahamad mungkin lega.

Apapun, Bekas Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Menteri Besar, itu pernah memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada 26 April lalu, bahawa beliau dan keluarga tertekan selepas difitnah menghantar Sistem Pesanan Ringkas (SMS) berunsur ugutan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Beliau juga terkejut apabila didakwa menghantar SMS berbunyi “Baik YB jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?”, kepada Tiga ADUN 13 April tahun lalu.

Wan Ahamad menyatakan beliau tertekan, terkejut dan menafikan pembabitannya dalam penghantaran SMS tersebut di mahkamah, bukan kedai kopi. “Saya rasa terkejut bila orang tuduh saya hantar SMS itu, tambahan pula ia mendapat liputan meluas di media massa. Anak-anak dan isteri saya stress (tertekan) kerana berita itu, tetapi saya suruh mereka bersabar dengan fitnah yang dilemparkan kepada saya,” katanya ketika dipanggil menjadi saksi dalam kes perbicaraan Dr Ramzi yang menghadapi empat tuduhan berhubung ugutan jenayah melalui SMS kepada tiga ADUN tahun lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, pada 11.21 malam 13 April lepas di E726 Jalan Kubang Parit, Kampung Kubang Parit di sini, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd Ariffin Abdullah, Adun Paka, dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepadanya.

Dr Ramzi juga didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap Abdul Halim Jusoh, Adun Permaisuri, pada tarikh, tempat dan waktu yang sama, dan juga terhadap Datuk Rosol Wahid, Adun Ajil, pada 11.25 malam di tempat dan pada tarikh yang sama.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Ahmad Ramzi boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat pada tarikh dan tempat yang sama, antara 11.21 malam dan 11.25 malam, dia didakwa memfitnah Wan Ahamad Wan Muda dengan menghantar SMS yang mengandungi ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd Ariffin, Abdul Halim dan Rosol, melalui laman web http://ownsmsbiz.com/v1 dengan menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Bagi kesalahan itu, Dr Ramzi boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertekan tetapi apakah yang boleh dilakukan oleh Wan Ahamad? Beliau hanya mampu meminta isteri dan anak-anaknya bersabar dengan berita yang tidak benar itu.

Wan Ahamad sudah memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak pernah mengarahkan sesiapa pun untuk menghantar SMS berbau ugutan itu kepada ADUN berkenaan menggunakan telefon beliau.

Lagipun, beliau hanya mengetahui mengenai fitnah yang dilempar kepadanya melalui seorang kakitangan kerajaan, Haji Wan Lotfi Wan Ismail, pada 14 April iaitu sehari selepas SMS tersebut dihantar.

Beliau membuat laporan polis selepas itu kerana namanya dikaitkan di dalam blog (blog siapa lagi kalau bukan Jarang Anak Melayu) dan tuduhan itu tidak benar.

Wan Ahamad tidak berdaya untuk melakukan cara lain – hanya mahkamah tempat beliau menyatakan perasaan dan kebenaran.

Jika demikian tekanan yang dialaminya akibat tuduhan dan namanya dikaitkan dengan SMS Ugut Bunuh berkenaan, apakah Wan Ahamad akan membiarkan sahaja orang yang membuat fitnah dan membuat tuduhan menyebabkan beliau tertekan.

Penulis beranggapan Wan Ahamad memang ‘mendiamkan diri’ tetapi beliau tidak berdiam diri sebaliknya akan muncul dengan ‘wajah baru’ yang akan mengejutkan banyak pihak – khususnya yang membuat tuduhan dan fitnah terhadapnya.

TIDAK PERCAYA TUNGGULAH!


No comments:

Post a Comment