Saturday, October 16, 2010

Konvensyen Terengganu 2010 jadi KPI?

Sebahagian peserta mendaftar pada Konvensyen Terengganu 2010 di Kuala Terengganu, semalam.

Konvensyen Terengganu 2010 wajar dijadikan sebagai petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi kerajaan dan UMNO selaku parti yang memerintah mengukur sejauh mana prestasinya.

Ia perlu mengambil kira hala tuju dan sasaran agar langkah tegas benar-benar diambil memastikan kelemahan dan kepincangan dapat diatasi dan mencapai matlamat.

Salah seorang peserta, Ahli Dewan Undangan Negeri Jabi, Ramlan Ali (gambar kiri) berharap dalam usaha ke arah itu permasalahan dalam UMNO tidak seharusnya dikesampingkan.

"Selaku parti yang memerintah, kekuatan kerajaan juga dilihat berasaskan keutuhan parti," katanya diKuala Terengganu, semalam.

Perasmian konvensyen akan disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Hotel Primula di Kuala Terengganu hari ini dan ia dijangka dihadiri lebih 1,200 peserta.

Ramlan juga menarik perhatian tentang perlunya golongan pelapis berwibawa diberi peranan dalam parti dan kerajaan agar mereka benar-benar bersedia mengambil alih dengan peranan yang berkesan.

Senator Datuk Abdul Rahman Bakar pula berkata, konvensyen berkenaan adalah landasan untuk pihak kepimpinan kerajaan negeri dan parti mendapat maklum balas daripada akar umbi.

Katanya, walaupun pelbagai usaha yang dilaksanakan kepemimpinan negeri dalam membawa perubahan kepada negeri ini, masih terdapat suara-suara yang tidak puas hati dan mahu ia diberi perhatian.

Beliau berkata, ia juga dapat membantu mengekalkan kedudukan Barisan Nasional (BN) yang sudah separuh penggal memerintah Terengganu, di hati rakyat.

Pengerusi Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC) Terengganu, Abdul Karim Mohamad berpendapat konvensyen itu akan memberi ruang untuk golongan belia mengemukakan pendapat dalam membantu pembangunan negeri.

Justeru, beliau juga meminta suara belia diiktiraf dalam pentadbiran kerajaan negeri seperti dilantik menjadi ahli jawatankuasa majlis kerajaan negeri, bagi mencapai tujuan tersebut.

Bekas Exco negeri, Datuk Aziz Ibrahim Awang berkata, kerajaan negeri perlu melihat dalam mengembangkan sektor ekonomi untuk meningkatkan peluang pekerjaan dan membasmi kemiskinan

''Ekonomi negeri ini akan dapat dikembang melalui beberapa pendekatan termasuk pembangunan industri pelancongan dengan produk-produk baru dan menarik penglibatan rakyat," katanya.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Dungun, Aziahwati Abdullah melahirkan harapan konvensyen berkenaan akan dapat terus menyatupadukan UMNO terutama dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

''Konvensyen ini turut mengumpulkan pemimpin jawatankuasa empat sayap UMNO negeri dan kehadiran ramai peserta ke konvensyen ini menunjukkan bahawa kita sudah bersatu hati," katanya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment