Sunday, October 17, 2010

Projek Lembah Kaprima Dibuka Hujung Tahun

Projek Lembah Kaprima bagi penternakan kambing secara komersial di empat daerah di negeri ini dengan kos RM13 juta dijangka mula beroperasi penghujung tahun ini.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri, Dr. Azizol Mohd. Sharun berkata, seluruh kawasan itu sekurang-kurangnya dapat menampung 2,000 ekor kambing baka Jamnapari.

Katanya, projek JPV dengan kerjasama syarikat swasta Regency Dairy Farm Sdn. Bhd. ke arah menjadi negeri ini salah satu pembekal baka dan daging kambing yang utama dalam negara.

"Buat permulaan ia melibatkan kawasan Hulu Segading di daerah Besut, Payang Kayu (Hulu Terengganu), Hulu Seladang (Setiu) dan Kampung Cabang di Kemaman.

''Projek ini termasuk dalam Program Kaprima Bestari yang keseluruhannya bernilai RM43 juta," katanya pada majlis persaraannya di pejabat JPV negeri dekat sini semalam.

Menurutnya, empat lagi akan dibuka tahun depan iaitu di Telaga Papan di daerah Setiu, Mengabang Bakun (Kuala Terengganu), Tanjung Gaduh (Marang) dan Durian Mentagau di Dungun.

"Program Kaprima Bestari terbahagi kepada tiga projek pelaksanaan iaitu Lembah Kaprima, Gugusan Kaprima dan Mikrokaprima," ujarnya.

Bagi Gugusan Kaprima katanya, setiap projek akan menempatkan sehingga 50 ekor kambing dan ia diusahakan oleh lebih 70 pengusaha di seluruh negeri.

"Bagi Mikrokaprima pula, ia akan menempatkan 10 ekor kambing kepada seorang pengusaha dan boleh diusahakan secara sampingan oleh ibu tunggal, siswazah atau petani sedia ada," jelasnya.

Katanya, dengan proses pembiakan dan pembakaan yang baik, projek Mikrokaprima mampu mencapai pendapatan sehingga RM700 sebulan termasuk penjualan baja organik dan ia telah melepasi garis kemiskinan tegar.

Sementara itu katanya lagi, sebuah Pusat Bioteknologi Kaprima Bestari yang bernilai RM5 juta turut dibuka di Kampung Jenang, Marang untuk tujuan penyelidikan baka kambing bagi meningkatkan mutu ternakan tersebut.

No comments:

Post a Comment