Lulusan ijazah pemasaran sebuah universiti tempatan, yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret diKuala Terengganu kelamrin atas dakwaan mengedar dadah kanabis, berdepan hukuman hukuman mati jika sabit kesalahan.
Mohamad Abdul Rahman, 28, yang berasal dari Kampung Bukit Parit, Marang didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 1,400 gram, satu kesalahan mengikut Seksyen 39b(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati.
Tertuduh, yang bekerja sebagai peniaga kain sutera, didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 10 pagi, 3 Okt tahun ini di sebuah rumah di Lot 420, Kampung Tok Jamal, Wakaf Mempelam.
Tertuduh hanya tunduk dan mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Azizah Yusof. Tiada pengakuan direkodkan.
Nor Azizah menetapkan 6 Dis sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam bela Mohamad Ramlan Taib.
Media sebelum ini melaporkan polis yang membuat serbuan ke rumah tertuduh pada 3 Okt lepas menemui dadah bernilai hampir RM100,000 disimpan di dalam bilik. Hasil siasatan mendapati tertuduh positif dadah jenis sama.
No comments:
Post a Comment