Saturday, October 16, 2010

Perkaya sambut ulang tahun Disember ini

Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya) akan mengadakan sambutan besar-besaran sempena ulang tahun ke-30 pertubuhan itu pada Disember ini.

Yang Dipertua Perkaya, Datuk Dr. Tengku Mahmud Tengku Mansor (gambar kiri) berkata, kemuncak acara adalah Majlis Makan Malam Sempena Sambutan 30 tahun yang akan diadakan di Taman Tamaddun Islam (TTI) di Kuala Terengganu.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah telah berkenan berangkat untuk menyempurnakan perasmian majlis tersebut.

Menurut beliau, majlis itu juga akan turut menghimpunkan kira-kira 110 anak yatim Terengganu lepasan ijazah dan sarjana yang kini telah berjaya dalam kerjaya masing-masing untuk menerima penghargaan.

Tengku Mahmud berkata, di samping itu Anugerah Jasamu Dikenang kepada empat orang yang telah banyak berjasa dan membantu kejayaan Perkaya dalam membela nasib anak-anak yatim dan pelancaran buku Tiga Dekad Perkaya.

"Sambutan ini adalah untuk menghargai sumbangan dan penghormatan kepada individu dan organisasi yang telah banyak memberi sumbangan kepada usaha Perkaya dalam membela nasib anak-anak yatim," katanya di sini.

Beliau yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim) berkata, Perkaya merupakan pertubuhan yang paling berjaya daripada 54 pertubuhan kebajikan anak yatim yang berdaftar dengan Peyatim di seluruh negara.

Katanya, ini terbukti dengan kejayaan penubuhan Kolej Teknologi Bestari (KTB) di Putera Jaya, Bandar Permaisuri di Setiu untuk memberi peluang kepada pelajar anak yatim yang layak, tetapi tidak berpeluang melanjutkan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Selain itu, Perkaya turut menjalankan perniagaan dalam bidang perladangan, ternakan dan pembinaan bagi menampung perbelanjaan pengurusan, pendidikan dan pengurusan asrama terutama kepada pelajar yang tinggal di Asrama Perkaya.

Menurut beliau, acara lain yang turut diadakan sempena sambutan itu adalah pameran mengenai kejayaan Perkaya dalam tempoh 30 tahun yang akan diadakan Asrama Perkaya di Marang.

Selain itu, diadakan pertandingan karangan dan melukis kepada anak-anak yatim yang tinggal di asrama Perkaya.

Beliau menambah, Perkaya juga akan mengadakan majlis khas bagi merai dan memberi penghargaan kepada bekas Menteri Besar Terengganu Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad yang banyak membantu kepada kejayaan dan kekuatan Perkaya sehingga kini.

No comments:

Post a Comment