Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Terengganu mengenal pasti kawasan seluas kira-kira 500 hektar di luar jelapang padi di Terengganu untuk dijadikan kawasan estet mini padi.
Pengarah LPP negeri Samsuddin Mat Rani berkata kawasan berkenaan ialah di Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu yang bakal melibatkan seramai 450 peserta.
"Kita memohon komitmen daripada petani ke arah menjayakan program ini untuk meningkatkan hasil pengeluaran padi di Terengganu," katanya di Kuala Terengganu, kelmarin.
Beliau berkata ini merupakan kali pertama LPP mengadakan program estet mini padi di Terengganu, setelah mendapati hasil tanaman itu dari kawasan jelapang padi tidak meningkat.
Katanya pada masa kini pengeluaran hasil padi di Terengganu hanya antara dua dan tiga tan metrik sehektar, sedangkan sasaran awal kerajaan ialah lima hingga tujuh tan metrik sehektar.
Samsuddin berkata hasrat kerajaan untuk melihat hasil padi 70 peratus untuk sara diri di Terengganu hanya akan tercapai apabila pengeluaran hasil padi meningkat.
No comments:
Post a Comment