Pada keseluruhannya orang Melayu sangat kurang menderma organ berbanding bangsa lain di negara ini akibat keraguan dalam kefahaman agama, kata Pengarah Kesihatan negeri Terengganu Dr Nordiyanah Hassan.
Katanya sejak 1995, hanya dua penderma organ Melayu menderma buah pinggang kepada pesakit di negeri itu.
"Sebenarnya fatwa sendiri jelas menyatakan bahawa menderma organ adalah diharuskan dalam Islam. Menderma organ diharuskan bagi menyelamatkan nyawa yang sangat diperlukan oleh pesakit," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Minggu Kempen Kesedaran Pendermaan Organ di Kuala Terengganu, kelmarin.
Katanya kalau dilihat di Terengganu sendiri sering berlaku kemalangan jalan raya melibatkan mereka yang masih muda dan tidak mempunyai sebarang penyakit dan organ mereka adalah sihat.
"Jadi jika mereka berikrar (menderma organ) semasa hayatnya, kita boleh ambil organnya seperti buah pinggang, paru-paru, jantung dan sebagainya untuk didermakan kepada orang yang memerlukan," katanya.
Sementara itu, seorang penderma organ Hasmawati Husein, 45, dari Ajil, Hulu Terengganu berkata orang ramai seharusnya tidak berasa ragu untuk menderma organ mereka bagi menyelamatkan nyawa insan yang memerlukan.
Hasmawati, yang menderma buah pinggang kiri kepada adik kandungnya Hatirah, 42, pada 2002 berkata dia tidak menghadapi sebarang masalah selepas mendermakan buah pinggangnya, malah kalau ada masalah kesihatan, ia terus dirujuk doktor pakar.
"Penderma buah pinggang diberi layanan istimewa, kalau kita selesema pun kita dirujuk kepada doktor pakar, itulah istimewanya," kata Hasmawati, yang bersyukur kerana dapat memulihkan penyakit adiknya itu.
Hatirah, seorang guru, yang mempunyai seorang anak, berkata dia begitu bersyukur dan berterima kasih dengan pengorbanan kakaknya itu.
"Saya tidak sangka yang saya boleh sihat seperti sedia kala," katanya mengalami sakit buah pinggang pada 2001 dan melakukan pemindahan setahun kemudian.
No comments:
Post a Comment