Saturday, October 30, 2010

Peralihan Kepemimpinan Langkah Terbaik Perkukuh UMNO Di Lima Negeri

Oleh Kamal Ahmad (Berita Harian, 29 Oktober 2010)

Mungkinkah jawatan lima Pengerusi Perhubungan UMNO negeri diserahkan kembali kepada kepemimpinan anak negeri seawal Disember ini? Itulah antara persoalan yang mula diperkatakan ramai ahli UMNO pada masa ini.

Desas-desus mengenainya sudah lama kedengaran dan ia diperkuatkan lagi apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak ‘secara rasmi’ menyatakan mengenai perkara itu ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), yang berakhir Sabtu lalu.

“Saya sudah beritahu bahawa pada masa terdekat ini saya akan buat perubahan kepada kepemimpinan UMNO di peringkat tertentu,” kata Najib hari itu dan desas-desus perubahan kepemimpinan Pengerusi Perhubungan UMNO di negeri yang ditadbir pembangkang (kecuali Terengganu) semakin berasas.

Pastinya perubahan yang beliau maksudkan ialah saf UMNO peringkat negeri kerana semua jawatan dibuat secara lantikan. Andai berlaku perubahan atau rombakan itu, diharap ia menyerapkan beberapa teras penting iaitu menggabungkan kepemimpinan baru dan lama, rekod peribadi dan kerja yang bersih, berkemampuan mengemudikan bahtera parti negeri serta berupaya mempertahankan kemenangan dan menggapai semula kerusi baru atau yang terlepas ke tangan parti lawan dalam pilihan raya umum lalu.

Ketika ini, Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor disandang Najib, Wilayah Persekutuan dipegang Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pulau Pinang (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), Terengganu (Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Kedah dipegang Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Difahamkan, ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan mengadakan mesyuarat akhir bulan ini, antara lain membincangkan penyerahan jawatan berkenaan kepada pemimpin anak negeri masing-masing.

Terdahulu, mesyuarat pengurusan UMNO akan menyiapkan laporan mengenai perkara itu untuk dibentangkan kepada MT UMNO. Pihak pengurusan itu juga akan menyusun dan menyiapkan semua butiran terperinci, termasuk cadangan daripada Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 lalu untuk dibincangkan MT UMNO serta dibuat tindakan susulan.

Ada logiknya kenapa Najib mahu jawatan itu dipulangkan kepada pemimpin anak negeri. Beliau sendiri selaku Perdana Menteri dibebani terlalu banyak tugas dan tanggungjawab termasuk melaksanakan tiga transformasi dalam tiga teras iaitu kerajaan, ekonomi dan politik, selain pelaksanaan Bajet 2011 serta Rancangan Malaysia Ke-10, mengikut perancangan.

Ketika ini Timbalan Pengerusi Perhubungan Selangor ialah Datuk Noh Omar dan saf baru perlu benar-benar ampuh, lasak dan berkemampuan untuk menawan semua negeri itu.

Mengulas perkembangan itu, Shafie yang menerajui UMNO Kedah, berkata proses berkenaan seharusnya berjalan lancar dan tidak menjadi masalah.

“Yang penting ialah tumpuan dapat diberikan kepada pimpinan di peringkat negeri sebab kita nak jaga banyak sangat. Kita juga yakin sudah sampai masa untuk kita meletakkan seseorang yang boleh diterima oleh pimpinan UMNO bahagian di negeri berkenaan,” katanya.

Timbalan Shafie ialah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan pemimpin muda seperti Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Jamil Khir boleh membantu.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Syed Ali Alhabshee, ketika diminta mengulas perkara itu berkata: “Ini terpulang kepada Presiden dan MT UMNO untuk menilai prestasi dan sebagainya. Sebagai ahli parti, kita kena akur dan tidak perlu berebut-rebut hendak menjadi pengerusi (Badan Perhubungan UMNO) dan sebagainya (tetapi) akhirnya semua akan hancur.”

Sebaliknya, beliau melontarkan pandangan kritis bahawa ketua yang baru bukan saja berkemampuan mengurus parti, malah ada perancangan yang membolehkan BN memenangi 13 kerusi Parlimen dalam Wilayah Persekutuan serta dapat menawan hati nurani pengundi baru.

“Selepas lantikan itu, kita harap tidak ada ‘politiking’ kerana matlamat kita ialah hendak menang pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Ketika ini, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan ialah Datuk Raja Nong Chik Datuk Raja Zainal Abidin. Namun UMNO Wilayah Persekutuan turut memerlukan tokoh seperti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, duduk dalam saf itu.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu ialah Datuk Seri Ahmad Said. Suasana politik di negeri itu menunjukkan momentum dengan memperlihatkan kesepakatan dan sokongan semakin baik untuk membolehkan beliau memberi tumpuan lebih melaksanakan program pembangunan negeri.

Datuk Tengku Putera Tengku Awang yang ketika ini Setiausaha Perhubungan UMNO negeri adalah antara yang berpengalaman dan pengaruhnya diterima semua pihak. UMNO negeri beruntung kalau beliau diberi tempat lebih baik dalam rombakan akan datang. Tetapi ada suara mahu Ahmad digandingkan dengan Datuk Seri Idris Jusoh, bekas Menteri Besar yang mampu memainkan peranan besar dalam memperkukuhkan lagi UMNO di negeri itu.

Di Pulau Pinang, Ahmad Zahid wajar melepaskan baton kepada timbalannya, Datuk Zainal Abidin Osman.

Apapun, rombakan Badan Perhubungan UMNO di lima negeri ini mesti dilakukan secara berhemah. Kekalahan calon BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pada pilihan raya umum 2008 antara lain berkisar masalah dalaman parti.

Antaranya, pertembungan kelompok pemimpin tua dan muda, salah memilih calon serta keengganan pemimpin berundur walaupun sudah lama mengisi sesuatu jawatan. Justeru, perlu ada formula yang mampu menggabungkan pengaruh dan pengalaman orang lama dengan keazaman serta ketangkasan orang muda dalam saf kepemimpinan negeri kali ini.

Keputusan melantik pemimpin baru juga mesti selaras kemampuannya menawan semula kerajaan negeri daripada pembangkang.

Populariti semata-mata tidak membantu. Pemimpin yang bersih juga belum tentu menjamin. Yang penting, kombinasi beberapa elemen sangat penting dalam penilaian calon terbabit memandangkan tugas yang menanti sangat berat dan mencabar.

Kesilapan memilih calon juga kemungkinan mendorong krisis dalaman seperti 2008 dan memberi kesan sama iaitu kekalahan.

No comments:

Post a Comment