Friday, October 22, 2010

Pusat Penyelidikan Pulau Bidong Beri Peluang Penyelidik Buat Kajian

Pembinaan Pusat Penyelidikan Pulau Bidong Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan membuka peluang yang lebih luas untuk penyelidik membuat kajian terutama dalam bidang sains marin.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMT Tan Sri Dr Zaharudin Idrus berkata pusat itu akan menjadi teras penyelidikan yang berlandaskan sains, teknologi dan kejuruteraan.

"Kemudahan yang ada di sini akan dapat melaksanakan usaha sama untuk menyelidik dan mengkaji dengan universiti-universiti tempatan dan antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Penyelidikan Pulau Bidong semalam yang turut dihadiri Naib Canselor UMT Prof Dr Aziz Deraman.

Pusat Penyelidikan Pulau Bidong yang berharga RM3.620 juta mula dibina oleh UMT pada tahun 2003 dengan membabitkan tiga fasa serta mempunyai pelbagai kemudahan.

Antara kemudahan yang terdapat di pusat itu ialah bangunan asrama, rumah kakitangan, dua unit rumah tetamu, bangunan aktiviti pelajar, enam buah rumah penginapan, ruang makan, jeti sepanjang 100 meter serta kemudahan lain yang mampu memberi kemudahan kepada penyelidikan untuk menjalankan kajian.

Aziz pula berkata UMT menyediakan makmal di pulau itu secara umum di mana penyelidik yang ingin datang membuat kajian perlu membawa kelengkapan mereka untuk diletakkan di makmal berkenaan.

Katanya penyelidik boleh tinggal ikut tempoh yang mereka perlu dengan membawa kelengkapan penyelidikan dan membawa pulang setelah selesai membuat penyelidikan dan kajian.

Beliau berkata UMT membangunkan pusat penyelidikan di Pulau Bidong supaya penyelidik dapat lebih dekat dengan laut memandangkan pulau ini sudah terletak di tengah-tengah lautan.

Aziz berkata UMT sendiri banyak membuat kajian dan penyelidikan terutama tentang kemusnahan batu karang.

Katanya ini peluang yang sangat baik kerana kedudukan pusat itu yang mudah untuk memperoleh contoh seperti terumbu karang untuk dibuat ujian di makmal.

Beliau berkata selain itu, UMT juga sedang merancang untuk mendapatkan tenaga daripada kincir angin selain ombak untuk bekalan tenaga kepada pusat penyelidikan itu dengan kerjasama Sirim pada masa depan.

"Kita sedang mengkaji untuk mendapatkan tenaga daripada kedua-dua sumber berkenaan selaras dengan teknologi hijau yang digalakkan sekarang," katanya

No comments:

Post a Comment