Thursday, October 28, 2010

Saksi – SMS Ugut Bunuh Dihantar Atas Arahan Dr Ramzi

Nor Izwan Zainal Abidin, 32, mengesahkan pada prosiding yang disambung pagi semalam (27 Oktober 2010) di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu , maklumat yang diberikan olehnya kepada penyiasat sebelum ini bertujuan melengkapkan siasatan pihak berkuasa.

Dengan kata lain. Nor Izwan bekerjasama penuh dengan penyiasat bukan bertujuan untuk beliau dibebaskan daripada tahanan tetapi membantu pihak bekuasa menjalankan siasatan sebenar terhadap kes SMS Ugut Bunuh.

Walaupun semalam pemilik akaun aplikasi khidmat pesanan ringkas (SMS) itu menafikan ada menghantar SMS Kempen Majlis Tertinggi Umno seperti yang terdapat dalam telefon tertuduh kes itu, kelmarin beliau mengakui aplikasi itu digunakan untuk menghantar mesej berbaur ugutan kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Terengganu.

Nor Irwan berkata demikian pada perbicaraan kes yang didakwa mengugut ADUN Paka Mohd Ariffin Abdullah, ADUN Permaisuri Abd Halim Jusoh dan ADUN Ajil Datuk Rosol Wahid.

Ketika disoal beliau menafikan telah menggunakan akaun aplikasi SMS miliknya untuk menghantar dua pesanan daripada "pejuang Umno" bertajuk "wahai perwakilan yang budiman" dan "ada yang bakar jambatan dan tak suka k".

Kelmarin, beliau memberitahu mahkamah akaun aplikasi SMS yang digunakan untuk menghantar SMS Ugut Bunuh itu didaftarkan menggunakan namanya setelah diminta berbuat demikian oleh Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir.

Dr Ramzi, bekas setiausaha politik Datuk Idris Jusoh, yang ketika itu Menteri Besar Terengganu, didakwa melakukan perbuatan tersebut di E726, Kampung Kubang Parit antara 11.21 malam dan 11.25 malam, pada 13 April tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut kertas pertuduhan, Dr Ramzi mengancam untuk mendatangkan kematian kepada ketiga-tiga ADUN.

Dia turut didakwa memfitnah bekas setiausaha sulit Menteri Besar Terengganu Wan Ahamad Wan Muda, yang kini timbalan setiausaha kerajaan negeri, dengan menghantar SMS ugutan itu melalui nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Perbicaraan di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid, sementara Datuk Dr Ahmad Ramzi diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abd Rahman manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shahidani Abd Aziz.

Ketua Bahagian Siasatan dan Pemeriksaan Digi Telecommunications Sdn Bhd Mohd Faiz Ong Abdullah, 47, turut memberi keterangan berhubung akaun DiGi bernombor 016-9388800, milik Dr Ahmad Ramzi.

Beliau berkata DiGi tidak mengetahui isi kandungan SMS akaun pelanggannya, manakala mesej pula hanya disimpan selama tujuh hari sebelum dimusnahkan.

Mohd Faiz disoal balas mengenai rekod kegunaan akaun Dr Ramzi antara 13 hingga 21 April 2009.

Sementara itu, Mohd Faiz yang berbaju kemeja kelabu, tampil sebagai saksi kes ugutan bunuh menerusi SMS memberitahu mahkamah kandungan mesej yang dihantar pelanggan melalui sistem yang diaplikasikan syarikatnya, hanya disimpan selama tujuh hari dan dimusnahkan selepas tempoh tersebut.

Beliau memberitahu mahkamah mulai 13 April hingga 21 April 2009, terdapat mesej yang dihantar melalui sistem yang diaplikasikan syarikatnya digunakan oleh pelanggan berdaftar dengan nama Ahmad Ramzi Mohamad Zubir menerusi nombor 016-9388800.

Ditanya mengenai sistem waktu yang diaplikasikan syarikatnya, dia menjelaskan sistem yang digunapakai adalah berdasarkan `standard’ waktu Malaysia.

Jelasnya lagi, pelanggan menggunakan nama pendaftaran , Ahmad Ramzi turut mengirim beberapa SMS kepada nombor 019 kepunyaan Celcom pada 20 April 2009. Bagaimanapun berdasarkan sistem Digi, tiada sebarang nombor penerima SMS dicatatkan tetapi hanya terdapat catatan unit per SMS yang dihantar di mana caj 10 sen dikenakan bagi setiap SMS.

Pada tarikh yang sama pada jam 4.39 petang, pelanggan yang sama turut mengirim satu SMS ke nombor Celcom. Kemudiannya satu SMS lagi dihantar juga ke nombor Celcom pada jam 7.05 petang, diikuti satu lagi SMS ke nombor Celcom pada jam 10.37 malam.

Ketika menjawab sama ada terdapat gangguan atau kerosakan pada sistem itu sepanjang 13 April 2009 hingga 14 Mei 2009, Mohd Faiz menjelaskan bahawa tiada sebarang gangguan dan tidak menerima sebarang aduan pelanggan mengenai kerosakan pada sistemnya sepanjang tempoh itu.

Menjawab soalan peguambela sama ada dia boleh mengesahkan bahawa SMS itu dihantar oleh tertuduh, Mohd Faiz memberitahu dia dapat mengesahkan SMS itu dihantar Ahmad Ramzi sebagai pelanggan yang berdaftar dengan syarikatnya berdasarkan beberapa rujukan termasuk sistem rekod, preview dan bil.

Sejurus kemudian, mahkamah berhenti rehat dan bersambung pada sebelah petang kerana telefon bimbit yang digunakan sebagai bahan bukti kes dan mengandungi SMS itu perlu dicaj semula selepas peguambela mengemukakan kepada mahkamah untuk memeriksa kandungan SMS dalam telefon itu.

Perbicaraan yang bersambung pada sebelah petang berkisar soalan terhadap Nor Irwan yang memberitahu, ketiga-tiga telefon yang dirampas tidak mempunyai kandungan SMS yang dihantar.

Tertuduh diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abd Rahman manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Yusoff dan Nur Azimul Azami.

Perbicaraan di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid akan disambung pada 9 Nov ini.

No comments:

Post a Comment