Thursday, October 28, 2010

Persidangan UCW2010 Informasi Gaya Hidup Sihat

Nik Mohd. Hilman Zakaria (kiri) menerima hadiah utama Program Cakna Berat daripada Dr. Mohd. Amin Jalaludin di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Seramai 300 peserta menyertai Persidangan Mengenai Kesempurnaan Kesihatan, (UCW2010) yang bertemakan Hidup Sihat: Dari Perspektif Global anjuran Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), baru- baru ini.

Program selama tiga hari yang bermula 23 Oktober lalu melibatkan penyertaan di kalangan pendidik, sosiologi kedoktoran, ahli kesihatan, antropologi, teknologi makanan dan mahasiswa (sarjana dan pasca sarjana).

Pengerusi UCW2010, Prof. Dr Ahmad Zubaidi Abdul Latif memberitahu, sebanyak 13 kertas kerja dibentangkan sepanjang persidangan tersebut.

”Program dwi tahunan dan yang kedua diadakan itu bertujuan menyediakan informasi mengenai gaya hidup sihat melalui fizikal, mental dan spiritual.

”Selain itu, untuk memberi pendedahan mengenai pentingnya keseimbangan dalam pemakanan bagi menjaga tubuh badan yang sihat serta memberi peluang kepada peserta bertukar maklumat mengenai kesihatan,” ujarnya.

Sempena persidangan itu, turut diadakan kempen derma darah, ujian pap smear, ceramah dan pameran kesihatan, utlrasound 4D kepada ibu-ibu yang mengandung di samping pemeriksaan kesihatan secara percuma di Pusat Kesihatan Pelajar UniSZA, Kampus Gong Badak.

Perasmian disempurnakan oleh Presiden Asia Pasifik Akademik Kesihatan Awam Konsortium yang juga Pengerusi Kluster Perubatan, Majlis Profesor Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Mohd. Amin Jalaludin. Hadir sama Naib Canselor UniSZA Datuk Prof. Dr. Alias Daud.

Pada majlis itu, turut diadakan penyampaian hadiah bagi program Cakna Berat yang disertai di kalangan kakitangan universiti dalam usaha mengurangkan berat badan.

Seramai 15 kakitangan yang menyertai program yang dimulakan pada Mei sehingga awal Oktober lalu berjaya menurunkan berat badan antara lima kilogram sehingga 20 kilogram.

Seorang peserta yang paling berjaya melalui program tersebut ialah Nik Mohd. Hilman Zakaria yang menurunkan berat badan daripada 103 kilogram kepada 85 kilogram.

”Amalan menurunkan berat badan akan diteruskan walaupun program tersebut telah selesai dengan berat badan ideal saya adalah antara 65 dan 70 kilogram.

”Melalui program itu saya berjoging selama dua jam setiap hari dan mengambil nasi hanya waktu makan tengah hari manakala waktu pagi hanya mengambil susu dan makan buah-buahan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment