Tuesday, October 26, 2010

Tanam Kelapa Sawit Elak Kecurian Balak Di Sempadan

Ahmad Said berucap pada pelancaran wajah Pejabat baru NSTP di Kuala Terengganu semalam.

Kerajaan Terengganu akan mengatasi pembalakan haram di hutan kawasan sempadan negeri itu dengan Pahang dan Kelantan yang sukar dikawal dengan pembukaan ladang kelapa sawit.

Langkah itu ditimbang ekoran gejala kecurian yang serius dan kerajaan kehilangan sumber hasil dan kawasan yang diceroboh tidak dijana untuk ekonomi negeri.

Mendengar penerangan daripada Ketua Biro Berita Harian, Abdul Halim Yusoff (tiga dari kanan).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata,ia wajar dilaksanakan masa kini memandangkan kerajaan negeri tidak lagi bercadang untuk menjadikan pembalakan sebagai sumber menjana ekonomi negeri ekoran pelbagai masalah yang timbul.

Terbaru katanya, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob memaklumkan kepada beliau tentang pencerobohan hutan balak di kawasan hutan sempadan negeri itu dan Pahang yang serius.

"Apabila beliau memaklumkan perkara itu kepada saya baru-baru ini, saya fikir sudah tiba masanya kerajaan negeri berbuat sesuatu dan langkah menanam kelapa sawit di kawasan tersebut bagi menggantikan balak dilihat amat bersesuaian.

"Rentetan itu, kita juga dalam perancangan mewartakan hutan seluas kira-kira 30,000 hektar di sempadan negeri Pahang dan Kelantan dalam usaha melaksanakan langkah penanaman kelapa sawit ini tidak lama lagi," katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas majlis pelancaran wajah baru Pejabat NSTP di Kuala Terengganu, semalam.

Kerajaan negeri perlu mengetatkan undang-undang dan melaksanakan polisi itu supaya kes kecurian balak yang dikesan berlaku di kawasan bersempadanan dengan negeri jiran tidak terus berleluasa.

“Kalau bersempadanan (Kemaman) dengan Beserah, Kerajaan Terengganu memiliki kawasan pembalakan kira-kira 1,000 ekar (400 hektar) , Bagaimanapun apabila Kerajaan Pahang meluluskan pembalakan di kawasan berhampiran persempadanan (Pahang) menyebabkan kawasan (pembalakan) kita dicuri, begitu juga di Kelantan dan semua kawasan sempadan,” kata beliau .

Menurutnya, semua hutan yang dikenapasti di kawasan yang tidak terlalu tinggi akan dibersihkan untuk tujuan penanaman kelapa sawit itu.
Keluasan keseluruhan hutan untuk tujuan itu sedang dikenalpasti Kerajaan Terengganu.

Malah, usaha itu juga sejajar dengan matlamat kerajaan negeri bagi membangunkan ladang rakyat yang bertujuan membantu rakyat miskin bekerja di ladang kelapa sawit.

Sehingga kini, kerajaan negeri hanya mempunyai 5,600 hektar (sahaja) kawasan untuk membangunkan program itu, sedangkan sasaran awal sebanyak 20,000 hektar .

“Terdapat satu kawasan baru meliputi kawasan 15,000 ekar ( 6,000 hektar) yang baru dikenalpasti untuk tujuan membangunkan ladang kelapa sawit itu.

Masih, 20,000 ekar (8,000 hektar) lagi perlu dicari termasuk keperluan pelaburan jangka panjang Yayasan Terengganu sebanyak 50,000 ekar (20,000 hektar) untuk ladang kelapa sawit.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan berusaha mengeluarkan balak di dalam Tasik Kenyir, Hulu Terengganu yang bernilai ratusan juta ringgit.

Bagaimanapun, ekoran kos yang tinggi bagi mengeluarkan kayu balak di kawasan yang begitu luas itu menyebabkan ia tidak dapat dilaksanakan dengan komprehensif.

"Sebelum ini kita menggunakan sejenis robot yang berfungsi sebagai mesin untuk menebang kayu balak berkenaan namun pelbagai masalah yang timbul kerana jenis saiz balak yang terdapat di dalam air itu tidak sama sehingga menyukarkan proses penebangan.

"Jadi kini kita terpaksa meneruskan usaha itu secara konvensional iaitu menggunakan khidmat penyelam dari negara luar untuk menebang pokok itu secara manual namun kaedah itu berhadapan dengan risiko yang tinggi terutamanya kemalangan jiwa," jelasnya.

Justeru itu, bagi pembinaan empangan kedua di tasik berkenaan yang bakal dibina tidak lama lagi, kerajaan negeri mengambil pendekatan menebang pokok balak di kawasan yang dijangka digenangi air kelak.

"Kita anggarkan banyak hasil yang diperoleh kerana ia melibatkan hutan seluas 15,000 hektar," ujarnya.

Dalam pada itu, Menteri Besar meminta Jabatan Hutan Negeri Terengganu lebih serius dan prihatin dalam menangani masalah pembalakan hutan secara haram berikutan terdapat kes kerajaan negeri hanya menyedari wujud kecurian balak selepas meluluskan kawasan pembalakan berdasarkan pelan yang dikemukakan jabatan itu.

Sumber: Utusan Malaysia & UKOM

No comments:

Post a Comment